Ternakan babi skala besar di Selangor tidak sensitif awam

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

​SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri ini.

- Advertisement -

​Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, titah Tuanku mengenai keputusan Kerajaan Negeri membenarkan operasi di Tanjong Sepat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar adalah manifestasi keprihatinan seorang Raja Berperlembagaan.

​Menurutnya, Tuanku bukan sahaja berperanan sebagai Ketua Agama Islam Negeri, tetapi juga pelindung keharmonian masyarakat, penjaga alam sekitar serta pembela kebajikan rakyat.

​“Pemuda PAS Selangor menyokong penuh pendirian Tuanku bahawa penternakan babi secara kecil dan terkawal bagi keperluan tempatan kaum bukan Islam adalah satu perkara yang boleh difahami.

​“Namun, perancangan berskala besar apatah lagi berorientasikan eksport adalah tidak seimbang, tidak sensitif dan mencabar realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

​Beliau berkata, kebimbangan Sultan Selangor adalah sangat berasas memandangkan isu pencemaran bau, sungai, masalah kesihatan awam serta gangguan kualiti hidup penduduk setempat telah berlarutan lebih sedekad tanpa penyelesaian tuntas.

​Justeru katanya, adalah tidak wajar dan tidak berhemah untuk membenarkan skala operasi yang lebih besar di kawasan yang sama.

​Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut memandang serius kebimbangan Tuanku berhubung kemungkinan wujudnya konflik kepentingan, ketirisan tadbir urus atau unsur rasuah dalam perancangan dan kelulusan projek berkenaan.

​“Isu sebesar ini tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa, tertutup dan tanpa libat urus menyeluruh bersama rakyat setempat.

​“Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari seharusnya menjadikan titah Tuanku sebagai peringatan keras agar setiap dasar pembangunan mesti berpaksikan amanah.

​“Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesihatan awam, alam sekitar serta keharmonian antara kaum,” tegasnya.

​Tambahnya, Pemuda PAS Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat dengan penuh hikmah dan berprinsip. – HARAKAHDAILY 10/1/2026

- Advertisement -