
BANGI: Perikatan Nasional (PN) perlu terus diperkukuhkan tanpa mengenepikan mana-mana pihak kerana gabungan itu mempunyai struktur kepimpinan yang tersusun termasuk kewujudan Majlis Presiden sebagai badan tertinggi.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Majlis Presiden PN berperanan sebagai penasihat dan dianggotai presiden-presiden parti komponen.
“Dalam Perikatan Nasional kita (ada) satu ‘level’ dan paling tinggi lagi ialah Majlis Presiden. Dia ada Majlis Presiden. Maknanya, Presiden-presiden parti menjadi penasihat kepada Perikatan Nasional,” ujarnya dalam Liqa Fikri PAS Pusat semasa sesi soal jawab di Grand Ballroom, Tenera Hotel di sini semalam.
Menurut beliau, meskipun Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, kedudukan Presiden BERSATU itu masih kekal sebagai komponen penting dalam Majlis Presiden PN.
“Walaupun dia letak jawatan sebagai Pengerusi, tapi Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU. Dia masih lagi komponen dalam Majlis Presiden Perikatan Nasional,” ulasnya.
Beliau turut menjelaskan, mengikut Perlembagaan PN, sebarang perletakan jawatan Pengerusi perlu diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN yang dianggotai PAS, BERSATU, GERAKAN dan MIPP.
“Mereka ada nak jumpa dan insya-Allah kita atur pertemuan dahulu,” dedah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berharap usaha memperkukuh dan memperkemaskan semula PN dapat dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di peringkat negeri yang menurutnya berjalan seperti biasa.
Beliau memaklumkan beberapa negeri sudah mengadakan mesyuarat PN, termasuk Perak, manakala Pahang dijadualkan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.
“Saya ingat negeri-negeri (dah buat mesyuarat dan) jalan baik macam biasa saja,” dedah beliau yang juga merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang.
Menurut beliau, rakyat kini meletakkan harapan besar kepada PN sebagai pilihan politik utama, malah ada yang menyatakan mereka tidak lagi melihat Umno sebagai pilihan, manakala Pakatan Harapan (PH) turut ditolak.
“Sebab rakyat memang dia kata kami ni harap Perikatan Nasional saja. Kalau Perikatan Nasional tak ada, kami tak tahu nak nak pilih siapa,” katanya.
Pendekatan menentang arus
Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai kejayaan Zohran Mamdani di New York sebagai contoh pendekatan politik yang berani menentang arus.
Beliau berkata, Zohran mencapai kemenangan dengan menentang polisi diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, khususnya dasar berkaitan pendatang.
“Zohran itu dia sendiri pendatang dan New York ini hampir dikuasai dua pertiga oleh pendatang yang membangunkan New York. Jadi dia ambil pendekatan dukung pendatang yang telah beri sumbangan kepada pembangunan New York,” jelasnya.
Pendekatan itu, menurut beliau, membolehkan Zohran mendapat sokongan daripada warga asing yang sudah lama menetap di New York dan dilihat menentang polisi Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, Tuan Ibrahim berkata Zohran juga berterus terang menentang Donald Trump walaupun berdepan penentangan secara langsung.
“Rupanya memang orang suka kalau kita lawan. Jadi pendekatan lawan polisi yang tak betul ni, pada pandangan kita, kita kena terus,” ulas beliau yang juga merupakan ADUN Cheka.
Mengulas situasi politik tempatan, beliau berkata PAS dan PN turut bangkit serta mengambil pendirian tegas terhadap dasar kerajaan, termasuk berkaitan perjanjian dengan Amerika Syarikat, dan langkah itu berjaya menarik sokongan rakyat.
Menurutnya, hasil kajian dan tinjauan yang dijalankan menunjukkan sokongan rakyat masih bersama PN, walaupun golongan muda terdedah kepada pelbagai sumber maklumat melalui media sosial.
Beliau berkata rakyat juga mengharapkan sebarang isu dalaman PN dapat diselesaikan segera, dan PAS mempunyai mandat muktamar untuk menerajui PN.
“Perkara ini sedang dirunding dan dibincangkan dengan rakan-rakan komponen Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berharap PN dapat terus diperkukuhkan sebagai teras menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16, selaras dengan harapan rakyat terhadap gabungan itu. – HARAKAHDAILY 11/1/2026











