
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berpandangan bahawa Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) hendaklah segera memanggil suatu Mesyuarat Tergempar.
Beliau memaklumkan telah menerima surat peletakan jawatan daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin sebagai Pengerusi PN bertarikh 30 Disember 2025, yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 lalu.
“Adalah diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.
“Justeru bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN,” ujarnya.
Beliau mengutuskan surat kepada Timbalan-timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli MT PN yang dinyatakannya Mesyuarat Tergempar itu bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa ia merujuk kepada urusan bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN; dan seterusnya melantik Pengerusi PN yang baharu.
“Di pihak PAS, kami menghormati dan menerima keputusan yang diambil oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang menerajui PN dalam tempoh sebelum ini,” ujarnya.
Surat tersebut turut disalinkan kepada Timbalan Setiausaha Agung PN bagi tindakan lanjut di mana cadangan tersebut susulan pengumuman peletakan jawatan oleh Muhyiddin.
PAS dalam reaksi awal sebelum ini menyatakan kesediaan mencalonkan pemimpinnya sebagai Pengerusi PN yang baharu. – HARAKAHDAILY 11/1/2026











