Harta banyak tetapi haram, tetap tidak berkat 

Tuan Guru Abdul Hadi
- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam dengan jelas membezakan antara perkara yang baik dan buruk, termasuk dalam aspek harta, perbuatan serta akhlak manusia, sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran. 

- Advertisement -

Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Mā’idah ayat 100 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu” 

Beliau menjelaskan lagi dengan berkata, “Tak sama yang buruk yang haram diharamkan Allah Taala, sama ada perangai yang buruk ataupun makanan yang buruk diharamkan, perbuatan yang buruk diharamkan. 

“(Ia) tak sama dengan amal yang baik, harta yang baik dan harta yang halal, tak sama,” ujarnya dalam Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila di sini, semalam.

Menurut Tuan Guru lagi, walaupun seseorang individu itu mungkin terpesona dengan banyaknya harta yang dimiliki, sekiranya harta itu diperoleh melalui cara haram seperti riba, penipuan atau rasuah, ia tetap buruk di sisi Allah SWT dan tidak mendatangkan keberkatan. 

“Walaupun kamu kagum dengan banyak yang buruk itu, banyak harta dia, harta haram, harta riba, harta tipu orang, harta rasuah, tetap buruk di sisi Allah Taala. Tak mendatangkan berkat pada orang punya harta itu,” tegasnya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan bahawa keberkatan bermaksud harta tersebut membawa kepada kebajikan dan pahala. 

“Berkat ni harta jadi kebajikan. Banyak harta jadi kebajikan. Buat kebajikan dapat pahala pula. Harta yang halal ni mendatangkan kebajikan, mendatangkan pahala. Allah Taala tambah lagi. Harta yang haram mendatangkan keburukan. 

“Belanja tak ada guna sikit. Belanja untuk maksiat. Belanja sia-sia saja, habis begitu saja. Banyak mana harta pun habis begitu saja. Jangan kamu kagum,” tegasnya. 

Tuan Guru turut mengingatkan sifat manusia yang tidak pernah berasa cukup dengan harta walaupun telah memiliki lembah emas. 

“Manusia tak puas dengan harta, disebut dalam hadis kalau Tuhan beri satu lembah yang penuh dengan emas kepada seorang manusia, nescaya dia tak puas hati nak selembah penuh dengan emas pula.  

“Dua lembah penuh dengan emas. Nak lembah lagi pula se (satu) lagi, tak akan puas hati selama-lama dengan harta sehingga masuk dalam tanah barulah habis. Ini perangai manusia,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2026

- Advertisement -