
ALOR SETAR: Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Hamadah Mohamad Shauki mempersoalkan pendirian serta keikhlasan prinsip DAP dan PAN dalam isu keputusan Jabatan Peguam Negara yang memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi meskipun beliau sebelum ini didapati ‘prima facie’ oleh hakim bicara melibatkan 47 pertuduhan.
Beliau menyifatkan bahawa DAP sering melaungkan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang, integriti dan penentangan terhadap salah guna kuasa namun gagal mengambil pendirian tegas apabila berdepan isu yang melibatkan kerajaan sendiri.
Menurutnya, tindakan kerajaan menarik balik pendakwaan dan kemudian membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan (NFA), walaupun mahkamah telah memerintahkan tertuduh membela diri dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa serta satu bentuk campur tangan kerajaan dalam institusi kehakiman.
“Campur tangan dalam proses keadilan, sama ada secara langsung atau tidak akan mencemarkan keyakinan rakyat terhadap sistem undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Hamadah menempelak sikap membisu DAP dan PAN sebagai manifestasi hipokrasi politik prinsip ditegakkan hanya ketika menguntungkan tetapi dikompromi apabila melibatkan kuasa.
Tambah beliau, sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan, DAP dan PAN sepatutnya tampil berani dan berprinsip, bukan bersembunyi di sebalik alasan ‘keputusan jabatan kerajaan’.
“Parti yang benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang wajib menyuarakan bantahan secara terbuka, menuntut penjelasan telus daripada pihak berkuasa serta mendesak agar proses kehakiman dihormati tanpa campur tangan politik,” tegasnya.
Ahmad Hamadah turut menuntut agar DAP dan PAN menggunakan kedudukan serta pengaruh dalam kerajaan bagi menekan reformasi institusi termasuk memastikan kebebasan pendakwaan dan tidak mengganggu proses Mahkamah.
Beliau menegaskan, diam seribu bahasa dalam isu sebesar ini menjadikan DAP dan PAN bersubahat secara moral terhadap salah guna kuasa.
“Parti yang gagal mempertahankan nilai yang diperjuangkannya ketika berkuasa, maka rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan integriti parti tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menuntut penubuhan Jawatankuasa Siasatan Diraja (RCI) yang bebas bagi menyiasat perkara ini, memandangkan ia disifatkan sebagai tindakan kerajaan yang aneh dan luar biasa. – HARAKAHDAILY 10/1/2026











