
KUANTAN: Seramai 100 kanak-kanak berusia antara enam hingga 13 tahun menerima manfaat menerusi program gunting rambut percuma anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Al-Itqan Care, sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu minggu depan.
Program berkenaan berlangsung di dua lokasi iaitu di FELDA Bukit Sagu pada sebelah pagi sebelum diteruskan di pekarangan Surau Bukit Rangin Perdana 2 selepas solat Jumaat.
Pengerusi Al-Itqan Care, Muhammad Alif Zainuddin berkata, program itu dianjurkan bagi membantu keluarga yang memerlukan sebelum memulakan sesi persekolahan.
“Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan keperluan masyarakat setempat. Kita turut berhubung dengan pemimpin setempat bagi mengenal pasti golongan sasar dan memerlukan khidmat seperti gunting rambut untuk anak-anak mereka,” katanya, di sini, semalam.
Program tersebut turut mendapat kerjasama tukang gunting profesional daripada Hudbaba Academy, Indera Sempurna, yang menyumbangkan khidmat kepakaran mereka sepanjang program dijalankan.
Sementara itu, seorang ibu, Norsazidah Mohamed, 42, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sangat membantu khususnya bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.
“Biasanya setiap kali sekolah hendak dibuka, kos gunting rambut sahaja boleh mencecah kira-kira RM45 untuk dua anak lelaki saya.
“Dengan adanya program seperti ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perbelanjaan kami dan sangat membantu ibu bapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2026











