
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menegaskan tiada sebarang salah urus, penipuan atau rasuah dalam pelaksanaan projek tebatan pantai di Batu Rakit yang dilaksanakan secara rundingan terus selepas kawasan berkenaan mengalami runtuhan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, keputusan mempercepatkan projek itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan penduduk, rumah di kawasan berhampiran serta pengguna jalan raya.
Menurut beliau, projek berkenaan dilaksanakan secara rundingan terus berikutan faktor kecemasan.
“Jika ditunggu tender biasa, ia mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan, sedangkan risiko runtuhan lebih besar boleh berlaku.
“Justeru, langkah mempercepatkan pelaksanaan projek dibuat demi keselamatan awam,” katanya dalam podcast Dengor Molek, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, walaupun projek itu dipercepatkan, tatacara pemilihan kontraktor tetap mematuhi prosedur ditetapkan apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan penilaian teknikal, lesen, kewangan serta pengalaman syarikat sebelum dikemukakan kepada Perbendaharaan Negeri.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai turut menafikan dakwaan kononnya berlaku runtuhan berulang serta kerugian berjuta ringgit kepada kerajaan negeri.
“Kejadian runtuh hanya berlaku sekali ketika projek masih dalam pembinaan. Dakwaan runtuh berkali-kali itu sebenarnya merujuk kepada situasi semasa kerja pembersihan dan pembaikan dijalankan.
“Kos pembaikan pula ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor, bukan kerajaan,” jelasnya.
Mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau memaklumkan semua pihak terlibat termasuk JKR, Perbendaharaan Negeri dan kontraktor telah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Hasil siasatan mendapati tadbir urus projek ini adalah betul, tiada penipuan, tiada rasuah dan tiada salah guna kuasa. Surat sokongan yang dipersoalkan juga tidak melanggar sebarang prosedur,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri komited memastikan projek berkenaan disiapkan sepenuhnya dengan kualiti terbaik, termasuk perancangan pemasangan batu besar sepanjang kira-kira 284 meter dengan kos lebih RM2.8 juta selepas keadaan ombak kembali reda.
“Kontraktor juga berjanji akan menyiapkan projek ini sehingga sempurna walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi,” katanya.
Terdahulu, pada Januari tahun lalu, laluan berkenaan dilaporkan pernah terputus selepas dibadai ombak setinggi 2.4 meter susulan fenomena air pasang besar sebelum kerja baik pulih dimulakan.
Projek itu mula dilaksanakan pada 8 April lalu dan dijadualkan siap pada 7 Oktober 2025, merangkumi kerja pembersihan runtuhan, kajian geoteknikal, pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, tambakan pasir serta penstabilan struktur tanah.
Pada 24 September lalu, sebahagian struktur benteng di Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit dilaporkan runtuh semula akibat hakisan dan kini sedang melalui proses pembaikan.— HARAKAHDAILY 9/1/2026




















