
KUANTAN: Pendidikan yang seimbang antara akademik, akhlak dan kekuatan rohani merupakan asas penting dalam membentuk masa depan anak-anak, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu.
Menurutnya, ibu bapa tidak seharusnya berputus asa untuk terus memberikan pendidikan kepada anak-anak walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup, kerana pendidikan merupakan faktor utama yang membezakan martabat seseorang dalam masyarakat.
“Melalui pendidikan, anak-anak akan belajar mengurus kehidupan, menghadapi ujian dan membina masa depan mereka sendiri,” katanya ketika menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada keluarga penerima di Taman Beserah, di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 200 pelajar hasil sumbangan NGO Iman Care dan orang awam.
Andansura menegaskan bahawa kejayaan anak-anak tidak wajar diukur semata-mata melalui keputusan peperiksaan, sebaliknya turut melibatkan pembentukan sahsiah, akhlak, kebolehan bergaul serta keupayaan mengurus diri dalam masyarakat.
Katanya, pendidikan formal di sekolah perlu dilengkapi dengan pendidikan tidak formal melalui pergaulan harian dalam masyarakat, termasuk pendedahan kepada adab, nilai murni dan keupayaan menerima teguran.
“Anak-anak juga perlu didekatkan dengan surau dan masjid bagi mengisi kekuatan jiwa serta kefahaman agama kerana ilmu kerohanian menjadi benteng utama apabila berdepan ujian kehidupan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan anak-anak agar menjadi sumber ketenangan kepada ibu bapa dengan menunjukkan sikap hormat, beradab dan berakhlak mulia, bukan menambah beban dan kerisauan keluarga.
“Kegembiraan ibu bapa bukan diukur dengan harta, tetapi melalui akhlak dan tingkah laku anak-anak,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Beliau turut mengingatkan agar kegagalan tidak dijadikan alasan untuk berputus asa, sebaliknya dijadikan dorongan untuk berubah dan terus berusaha ke arah kebaikan.
“Selagi ada kemahuan untuk berubah, di situlah kejayaan sebenar. Yang gagal ialah mereka yang enggan mencuba,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/1/2026











