
ISU PULAU PINANG hak Kedah ini dah lama wujud, dibincangkan sejak era penjajahan British, diteruskan dalam wacana pasca Perang Dunia Kedua, dan kekal menjadi perbahasan sejarah sehingga ke hari ini.
Bila ada cubaan untuk menggambarkan isu ini sebagai sesuatu yang ‘sudah tertutup sepenuhnya’ sebenarnya tak selari dengan realiti sejarah dan intelektual.
Sejarah tak akan boleh dipadamkan dengan satu undang-undang yang datang kemudiannya. Kenyataan Syerleena Abdul Rashid yang mendakwa status Pulau Pinang telah dimuktamadkan oleh Perlembagaan Persekutuan lalu melabelkan dakwaan Kedah sebagai bercanggah dengan Perlembagaan adalah satu hujah yang mengelirukan dari sudut konteks.
Dia cuba nak campur adukkan dua perkara yang berbeza, kedudukan undang-undang semasa dengan asal-usul sejarah.
Perlembagaan Persekutuan memang menetapkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, dan hakikat ini tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan Kedah dalam tuntutan mereka.
Tapi perlu faham, Perlembagaan tidak berfungsi sebagai dokumen pemadam sejarah. Ia mengawal tadbir urus negara selepas kemerdekaan, bukan menulis semula peristiwa yang berlaku sebelum 1957.
Apabila perbahasan sejarah disempitkan hanya kepada apa yang tertulis dalam Perlembagaan, maka kita sebenarnya sedang merendahkan disiplin sejarah itu sendiri. Jika kita terima logik ni, maka segala kajian mengenai penjajahan, perjanjian tidak seimbang, penyerahan wilayah dan pampasan sejarah menjadi tidak relevan. Ini jelas satu pendekatan yang tak ilmiah dan tak jujur.
Lebih penting, kerajaan Kedah tak pernah pun kemukakan tuntutan undang-undang untuk merampas atau menafikan kewujudan Pulau Pinang sebagai negeri. Apa yang dibangkitkan ialah naratif sejarah dan keadilan fakta, termasuk persoalan bagaimana Pulau Pinang terpisah daripada Kedah dan implikasi ekonomi serta fiskal yang berpanjangan sehingga hari ini.
Menjadikan isu ini seolah-olah satu ancaman kepada Perlembagaan Malaysia adalah satu gambaran yang keterlaluan dan mengarut.
Menggunakan Perlembagaan sebagai perisai untuk menutup perbahasan sejarah bukan sahaja tidak tepat, malah berbahaya.
Ia akan membuka ruang kepada budaya autoritarian wacana, di mana fakta sejarah ditolak bukan kerana salah, tetapi kerana ia tidak selesa untuk dibincangkan.
Dalam sebuah negara demokrasi, perbahasan seperti ini sepatutnya diraikan, bukan disenyapkan. Lagi-lagi apabila fakta sejarah tu, tak kena dengan selera kita.
Hakikatnya, sejarah dan undang-undang bergerak pada landasan yang berbeza. Undang-undang menetapkan apa yang sah hari ini, manakala sejarah menjelaskan bagaimana kita sampai ke titik itu. Menafikan salah satunya hanya akan melahirkan kefahaman yang tempang.
Undang-undang boleh dipinda, diubahsuai dan dipertegaskan mengikut perkembangan semasa termasuk dapatan sejarah baru.
Kesimpulannya, isu Pulau Pinang dan Kedah tak boleh diselesaikan dengan retorik ‘Perlembagaan dah memuktamadkan segalanya’. Ia menuntut kejujuran terhadap sejarah, kematangan dalam berfikir, dan kesediaan untuk membezakan antara realiti undang-undang semasa dengan kebenaran sejarah lampau.
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi,
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/1/2026











