
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) memulakan langkah proaktif mengkaji semula fatwa zakat padi yang dikenakan ke atas pesawah, dengan sasaran pelaksanaan menjelang tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif tersebut bertujuan menyesuaikan kewajipan zakat dengan realiti beban ekonomi yang ditanggung pesawah ketika ini.
Menurut beliau, kajian semula fatwa berkenaan memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai keharusan menolak kos operasi seperti benih, baja, racun dan sewa jentera sebelum zakat ditunaikan.
“Perbincangan ini berkisar isu zakat padi melibatkan kaedah pengiraan, kadar sebenar hasil padi semasa serta cabaran yang dihadapi pesawah di seluruh Kelantan.
“Ia turut menyentuh mekanisme pelaksanaan zakat agar selari dengan realiti sumber air, infrastruktur, kos input mekanisasi dan perubahan landskap pertanian hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan itu berkongsi pandangan berkaitan penyelidikan fatwa Kajian Semula Kadar Pengeluaran Zakat Padi di Kelantan bersama Pegawai Penyelidik MAIK, Ustaz Mohd Fauzan Abdullah.
Selain kos penanaman yang semakin meningkat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu menjelaskan, kajian tersebut turut meneliti penyelarasan kadar dan nisab zakat mengikut nilai ekonomi semasa serta garis kemiskinan.
Beliau berkata, keperluan menyeragamkan kadar zakat antara lima peratus bagi penggunaan air berbayar atau pengairan dan 10 peratus bagi penggunaan air hujan semula jadi turut dinilai, supaya lebih adil selaras dengan perkembangan teknologi pertanian semasa.
Bagaimanapun, katanya, perkara paling utama adalah memastikan fatwa zakat yang ditetapkan sentiasa relevan dengan perubahan industri padi dan beras, termasuk kesan penyusutan hasil serta kenaikan harga input pertanian.
Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia turut memberi ruang kepada negeri-negeri untuk menyelaraskan kaedah taksiran zakat agar maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 9/1/2025











