NFA Zahid: Rakyat perhati, integriti sistem perundangan dipersoal

Isu NFA Zahid mencetuskan polemik dan persoalan terhadap integriti sistem keadilan negara.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengklasifikasikan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) terus mencetuskan polemik dan mempersoalkan integriti sistem keadilan negara, khususnya apabila kes tersebut sebelum ini telah mencapai tahap prima facie.

- Advertisement -

​Pemerhati undang-undang dan penganalisis politik menyifatkan tindakan muktamad ini sebagai satu duluan yang janggal memandangkan mahkamah sebelum ini telah berpuas hati dengan bukti pendakwaan sehingga memerintahkan tertuduh membela diri.

​Isu ini turut mendapat perhatian rakan komponen dalam Kerajaan PH-BN, apabila Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh menyifatkan keputusan NFA itu tidak memberikan keyakinan dan menimbulkan persoalan mengenai ketelusan penyiasatan.

​Menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, AGC dalam satu kenyataan mengaitkan keputusan tersebut dengan semakan menyeluruh terhadap bahan bukti, namun tiada sebarang pernyataan dibuat sama ada pihaknya telah meneliti dapatan prima facie oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2022.

​“Dengan segala hormat, perlu ditegaskan bahawa ini bukanlah kes di mana tiada sebarang dapatan telah dibuat.

​“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Mahkamah Tinggi telah mendapati wujud kes prima facie terhadap Zahid pada akhir kes pendakwaan pada tahun 2022, selepas perbicaraan bermula kira-kira empat tahun lebih awal pada 2019 dengan ramai saksi telah memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ramkarpal menegaskan, kegagalan AGC memberikan penjelasan memuaskan mengapa dapatan prima facie itu kini dianggap ‘tidak mempunyai pemberat’ akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap badan tersebut.

​Sementara itu, peguam Yusfarizal Yussoff dalam satu kenyataan menegaskan perbezaan ketara antara kes yang dibatalkan peringkat awal dengan kes yang telah diputuskan prima facie.

​Menurutnya, bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 24 Januari 2022 telah memerintahkan Zahid membela diri setelah mendengar keterangan 99 orang saksi pendakwaan.

​“Hakim Gopal Sri Ram pernah menyimpulkan maksud prima facie sebagai satu keadaan di mana bukti sudah mencukupi, dan jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, dia perlu disabitkan kesalahan.

​“Wajarkah Peguam Negara menerima representasi sedangkan pasukannya telah bertungkus-lumus memanggil 99 saksi dan mahkamah telah menerimanya? Ini ibarat dalam perlawanan bola sepak, pasukan lawan minta pengadil batalkan gol yang sudah dijaringkan pada separuh masa kedua,” ujarnya.

​Yusfarizal turut membezakan situasi ini dengan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana Hakim membatalkan pertuduhan kerana ia didapati cacat sebelum bicara bermula, berbeza dengan kes Zahid di mana Peguam Negara menggunakan kuasa budi bicara menarik balik kes walaupun bukti mahkamah sudah kukuh.

​Dalam pada itu, naratif bahawa pertuduhan tersebut bermotifkan politik turut disanggah memandangkan perincian kes membabitkan transaksi kewangan yang jelas.

​Berdasarkan rekod perbicaraan, antara pertuduhan adalah penerimaan suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services serta tiga syarikat lain melibatkan belasan cek bernilai jutaan ringgit sebagai dorongan mendapatkan projek MYEG di bawah Kementerian Dalam Negeri.

​Saksi pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memberi keterangan bahawa syarikat seperti Mastoro tidak mempunyai perniagaan sebenar namun mempunyai aliran wang keluar masuk yang meragukan.

Sementara ​Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid yang juga seorang pengamal undang-undang turut melontarkan persoalan mengapa kes ini tidak dibiarkan selesai di hadapan hakim yang sama.

​“Zahid Hamidi telah diperintah membela diri atas keterangan di hadapan Yang Arif Hakim. Kalau dipanggil bela diri, maksudnya ada kes kuat untuk dijawab.

​“”Mengapa tidak bawa ke hadapan Hakim? Bukankah lebih elok Mahkamah yang tentukan? Sekarang Peguam Negara kata tiada kes selepas 26 bulan DNAA (Dilepas Tanpa Dibebaskan). Rakyat sedang melihat,” tegas Rafique.

​Keputusan NFA ini juga dilihat ironi apabila penyokong Umno melaungkan bahawa pertuduhan tersebut adalah penganiayaan politik, sekali gus menimbulkan persoalan adakah Umno kini menuduh rakan gabungan mereka sendiri dalam Kerajaan PH-BN sebagai dalang yang mencampuri urusan SPRM sebelum ini.

​Seorang tokoh wartawan negara, Abdul Kadir Jasin dalam hantaran di media sosial turut menyindir situasi semasa dengan mengaitkan pembebasan penuh ini berlaku hanya beberapa hari selepas Pemuda Umno mencadangkan parti itu keluar daripada gabungan itu.

​“Ahmad Zahid bebas 47 kes dana Akalbudi beberapa hari selepas Pemuda Umno cadang Umno keluar Kerajaan Madani (PH-BN) NFA, kata AG,” tulisnya.

​Keputusan ini menyaksikan Zahid kini bebas sepenuhnya daripada kesemua 47 pertuduhan, namun persepsi rakyat terhadap ketelusan institusi perundangan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus menjadi perbualan hangat. – HARAKAHDAILY 9/1/2026

- Advertisement -