
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa siasatan yang terbuka, telus dan tegas dijalankan terhadap kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), selain dakwaan penularan aktiviti tidak bermoral melibatkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya mengikuti secara rapat perkembangan kes rasuah berkenaan yang disifatkan amat membimbangkan.
“Ia kerana melibatkan aspek kritikal pertahanan negara, termasuk perolehan aset, kelengkapan dan perkhidmatan yang memberi kesan langsung kepada tahap kesiapsiagaan angkatan tentera,” katanya.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan sahaja menyentuh kelemahan tadbir urus dalam TDM, malah turut memberi kesan langsung terhadap kualiti aset pertahanan negara.
“Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, TDM berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
“Keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang rakyat, malah turut membahayakan nyawa anggota semasa latihan mahupun operasi sebenar,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan Pemuda PAS Malaysia memandang serius penularan aktiviti tidak bermoral yang didakwa melibatkan pegawai ATM dan tular di media sosial.
Tambah beliau, perkara itu bukan sahaja mencemarkan imej ATM, malah menunjukkan masih wujud amalan budaya warisan asing yang tidak selari dengan nilai serta jati diri tempatan dalam kalangan anggota tentera.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penghayatan ajaran agama Islam perlu diterapkan secara lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota keselamatan negara.
“Ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan,” tegasnya.
Pemuda PAS Malaysia, ujar beliau, sehubungan itu turut mendesak agar siasatan terhadap kedua-dua isu berkenaan dijalankan secara adil, telus dan tegas tanpa sebarang kompromi bagi membersihkan semula nama baik ATM di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Beliau menyatakan, walaupun mengakui penyiasatan terhadap kes berprofil tinggi itu tidak mudah kerana telah lama berakar, Afnan Hamimi berkata ketegasan serta keterbukaan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kes berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Pemuda PAS Malaysia turut menggesa Kerajaan supaya memastikan penyiasatan kes-kes yang didedahkan dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan pihak luar mahupun dalam.
“Kita tidak seharusnya berkompromi dengan salah laku yang berlaku dan tindakan tegas wajar diambil sekiranya didapati bersalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2026











