
ALOR SETAR: Pencapaian kutipan hasil negeri sebanyak RM816 juta disertai surplus bajet berjumlah RM48 juta merupakan satu rekod yang jelas mencerminkan kecekapan pengurusan, disiplin fiskal yang tinggi serta perancangan strategik yang tersusun oleh pentadbiran negeri.
Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berkata, sehubungan itu pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh pegawai dan penjawat awam Kerajaan Negeri atas pencapaian kewangan negeri yang amat membanggakan sepanjang tahun 2025.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sekadar angka semata-mata bahkan menjadi petunjuk jelas keupayaan Kerajaan Negeri dalam mengimbangi pembangunan, kebajikan rakyat dan kestabilan kewangan secara berhemah dan berwawasan.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah melihat pencapaian ini sebagai hasil kepimpinan yang berprinsip, pengurusan berintegriti serta iltizam politik yang kukuh untuk mentadbir negeri berteraskan ketelusan, akauntabiliti dan nilai-nilai Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan, dalam keadaan ekonomi yang mencabar di peringkat nasional dan global, pencapaian kewangan negeri Kedah membuktikan bahawa negeri ini mampu berdiri teguh dengan dasar berhemat serta keutamaan yang jelas demi kepentingan rakyat.
Ku Abd Muhyi turut menjelaskan bahawa lebihan fiskal yang dicatatkan membuka ruang lebih luas untuk memperkasa agenda pembangunan rakyat khususnya dalam aspek kebajikan golongan rentan, pengukuhan ekonomi negeri, penciptaan peluang pekerjaan belia, pembangunan luar bandar serta pelaburan strategik jangka panjang.
“Ini juga menjadi bukti bahawa kecekapan tadbir urus yang baik mampu menghasilkan manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, ujar beliau, Pemuda PAS Negeri menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk mengekalkan momentum kecemerlangan ini, di samping memperkukuh reformasi pentadbiran dan pengurusan kewangan agar Kedah terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar seluruh kepimpinan dan penjawat awam negeri terus dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan serta keikhlasan dalam memikul amanah demi menjadikan Kedah sebuah negeri yang makmur, sejahtera dan diberkati.
Terdahulu Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengumumkan Kerajaan Negeri berjaya merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai sebanyak RM816 juta.
Menurut beliau, pencapaian ini telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 103 peratus sekali gus mengatasi kutipan hasil bagi tahun 2025 dengan jumlah RM790 juta.
“Lebih membanggakan, pencapaian kutipan hasil 100 peratus ini telah berjaya direalisasikan selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2024 dan 2025,” katanya ketika menyampaikan Amanat 2026 sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini semalam.
Menurut Sanusi, jumlah hasil kutipan negeri pada tahun 2023 ialah sebanyak RM629 juta, meningkat kepada RM769 juta pada tahun 2024 dan seterusnya mencapai RM816 juta pada tahun 2025.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut mencatatkan lebihan atau surplus sebanyak RM48 juta hasil perbandingan antara kutipan hasil dan perbelanjaan negeri.
Majlis tersebut turut menyaksikan tiga acara utama antaranya Majlis Penyerahan Pakej Internet Pejabat-Pejabat Penghulu Negeri Kedah di bawah Teras Lima Inisiatif Kerajaan Negeri.
Turut diadakan ialah Pelancaran Program Subsidi Air Asnaf oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dengan kerjasama strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Selain itu turut berlangsung Pelancaran Buku Mewah Ulu Muda State Park – Beneath the Canopy yang disempurnakan oleh Sanusi. – HARAKAHDAILY 8/1/2026




















