Mahasiswa dalam kampus hidup tersepit?

ROSLAN SHAHIR
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu ketidakadilan sosial kini melampaui pagar kampus, susulan tekanan kos sara hidup yang dihadapi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata beliau mengalu-alukan inisiatif Dapur Siswa yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi meringankan beban pelajar, khususnya daripada kategori B40, namun realitinya membimbangkan.

- Advertisement -

Menurutnya, pendedahan mengenai nasib pelajar di kampus menunjukkan betapa tertekannya kehidupan rakyat dalam mendepani kos sara hidup semasa yang disifatkan terlalu tinggi, sama ada di kampus mahupun di luar.

“Apabila membaca laporan berkenaan nasib siswa di kampus, barulah kita sedar betapa sesungguhnya tertekan dan susahnya nasib rakyat (hari ini),” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Roslan Shahir merujuk laporan akhbar tempatan yang memetik pendedahan seorang pelajar Universiti Malaya, Nur Atiqah Yusof, 24, mengenai keadaan hidup hariannya di kampus.

Menurut Nur Atiqah, kos sara hidup khususnya di bandar amat membimbangkan kerana harga barangan yang mahal, manakala kebergantungan kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa atau bantuan lain pula tidak mencukupi.

“Saya berbelanja dalam RM10 sehari untuk makan di kafetaria dua kali sehari. Itu jumlah minimum buat saya, berbelanja kurang dari itu bermakna saya terpaksa berlapar,” ujar Nur Atiqah.

Roslan turut mempersoalkan sama ada peruntukan RM15 juta bagi program Dapur Siswa mencukupi untuk menampung keperluan pelajar daripada kategori berkenaan di seluruh 20 IPTA di negara ini.

Beliau turut merujuk data Sistem UPUOnline yang merekodkan sebanyak 511,006 kemasukan pelajar ke universiti awam pada tahun 2025, terdiri daripada 497,020 pelajar tempatan dan 13,986 pelajar antarabangsa.

Walaupun demikian, Roslan memuji langkah berkenaan dan berharap ia dapat menyediakan makanan berzat tiga kali sehari kepada pelajar yang layak.

Dalam kenyataan sama, beliau turut membangkitkan persoalan lebih besar berkaitan keadaan rakyat di luar kampus, khususnya golongan B40 yang tinggal di kawasan bandar.

“Jika inilah keadaan di kampus, bagaimana pula keadaan rakyat di luar? Cukupkah rakyat kita khasnya golongan B40 dengan anak-anak mereka makan tiga kali sehari?” katanya.

Beliau berkata, ketika kos sara hidup terus meningkat, rakyat semakin pilu dan menderita, sedangkan mereka hanya disajikan dengan janji demi janji, sementara pimpinan dan keluarga mereka hidup dalam keadaan selesa. – HARAKAHDAILY 8/1/2026

- Advertisement -