Siapa benar pesta songsang di Selangor?

'Glamping with Pride'

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memandang serius dan mendesak pihak berkuasa menyiasat penganjuran program ‘Glamping with Pride’ yang dilihat mempromosikan gaya hidup songsang secara terbuka.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, program yang tular menerusi satu poster dan dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini di Hulu Langat, dilihat satu usaha menormalisasikan ideologi gender yang bercanggah dengan nilai agama, budaya dan kerangka perundangan negara.

- Advertisement -

​Menurutnya, Malaysia bukan sebuah negara tanpa nilai, malah Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan di mana norma masyarakat dibina atas asas akhlak, institusi keluarga dan kesejahteraan sosial.

​“Penganjuran program sebegini bukan isu kebebasan semata-mata. Ia menyentuh soal ketenteraman awam, moral masyarakat, keselamatan sosial dan perlindungan generasi muda.

​“Lebih membimbangkan apabila wujud unsur propaganda gaya hidup songsang secara terbuka, terancang dan berunsur pengaruh sosial,” tulisnya dalam satu hantaran di facebooknya.

​Kenyataan ini dikeluarkan susulan tularnya poster program anjuran kumpulan ‘Jejaka’.

Hasil tinjauan mendapati laman facebook kumpulan tersebut mempunyai sekitar 373 pengikut dan organisasi itu ditubuhkan untuk golongan lelaki gay, biseksual dan queer (GBQ) di Malaysia bagi mewujudkan ruang penerimaan diri dan sokongan rakan sebaya.

​Sehubungan itu, Mohamed Sukri mendesak pihak berkuasa berkaitan untuk segera menjalankan siasatan terhadap penganjuran program tersebut dan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

​Beliau menegaskan, negara tidak boleh bersikap longgar atas nama ‘toleransi palsu’ sehingga sanggup menggadaikan nilai, akhlak dan masa depan masyarakat.

​“Toleransi tidak bermaksud membenarkan kemungkaran dipromosi secara terbuka.

​“Saya menyeru semua pihak agar menghormati kerangka undang-undang negara ini dan menghentikan cubaan mengimport ideologi asing yang bercanggah dengan jati diri Malaysia,” katanya. –HARAKAHDAILY 8/1/2026

- Advertisement -