Semenyih perlu fasiliti seni bela diri khusus, berstruktur

Nushi Mahfodz
- Advertisement -

HULU LANGAT: Keperluan menyediakan ruang latihan atau gelanggang seni bela diri yang kondusif dan khusus adalah kritikal bagi memastikan bakat anak muda dapat digilap secara tersusun serta berterusan.

- Advertisement -

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, isu tersebut menjadi inti pati perbincangannya bersama tokoh seni bela diri, S. Sarawanan dalam satu pertemuan santai, semalam.

​Menurutnya, perbincangan tersebut bukan sekadar berkisar pencapaian peribadi tokoh berkenaan, sebaliknya memfokuskan kepada persoalan asas mengenai penyediaan ruang latihan yang benar-benar sesuai untuk membimbing minat generasi muda.

​“Pengalaman Sarawanan memberi konteks yang kukuh kepada perbincangan ini. Beliau bukan sekadar pernah bertanding di peringkat tertinggi, malah terlibat secara langsung dalam pembangunan atlet di pentas Asia, Komanwel, Olimpik Belia dan Sukan SEA.

​“Ini adalah satu perspektif lapangan yang jarang dimiliki dalam perbincangan pembangunan sukan di peringkat komuniti,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

​Mengulas lanjut mengenai situasi di Semenyih, Nushi berkata sambutan terhadap seni bela diri di kawasan tersebut sentiasa menggalakkan dengan komitmen jurulatih dan sokongan ibu bapa yang tinggi.

​Walau bagaimanapun, beliau meluahkan kekhuatiran kerana dalam banyak keadaan, latihan masih terpaksa dijalankan dalam ruang sementara yang tidak direka untuk latihan berstruktur jangka panjang.

Tambah beliau, isu keperluan gelanggang ini pernah dibangkitkan oleh beliau secara rasmi dalam sidang Dewan Negeri Selangor, namun maklum balas yang diterima menyatakan penyediaan kemudahan tertakluk kepada kekangan peruntukan dan prosedur permohonan pihak berkuasa tempatan (PBT).

​“Namun pengalaman di lapangan menunjukkan bahawa perbincangan tentang gelanggang tidak wajar dilihat semata-mata dari sudut bilangan atau lokasi.

​“Dalam konteks ini, gelanggang bukan sekadar soal bumbung dan lantai, tetapi ruang latihan khusus bagi seni bela diri, direka untuk memenuhi keperluan keselamatan, disiplin dan latihan berstruktur,” ujarnya.

Beliau menyatakan, ia adalah mengenai hala tuju demi memastikan bakat yang ada tidak terbiar dan potensi generasi muda Semenyih dibimbing secara selamat dan konsisten.

​Sehubungan itu, beliau komited untuk memastikan isu pembangunan belia ini dibawa ke perbincangan dasar dan saluran pentadbiran yang sewajarnya dengan fokus kepada penyelesaian yang berfungsi dan realistik.

​“Semoga perbincangan ini membawa kepada pendekatan yang lebih tepat dan berkesan demi masa depan belia Semenyih,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2026

- Advertisement -