Jawatan PM: Had tempoh tak selesai isu rasuah

Muna ‘Adila Che Rime
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sering dianggap sebagai jalan pintas untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa, namun realitinya isu berkenaan jauh lebih kompleks.

- Advertisement -

Penyelidik Kluster Perlembagaan, Undang-undang dan Hak Asasi, Muna ‘Adila Che Rime berkata, secara umum had tempoh jawatan atau ‘term limits’ merujuk kepada had bilangan penggal seseorang boleh memegang sesuatu jawatan, namun pelaksanaannya tidak semudah yang sering digambarkan.

“Logiknya nampak mudah, jangan beri seseorang berkuasa terlalu lama, maka risiko penyelewengan akan berkurang. Tetapi realitinya jauh lebih kompleks,” katanya dalam media sosial miliknya.

Menurut beliau, terdapat dua bentuk had tempoh jawatan yang lazim digunakan dalam perlembagaan negara yang mengamalkannya.

“Pertama ialah had berturut-turut, iaitu seseorang tidak boleh memegang jawatan lebih daripada beberapa penggal secara berterusan, tetapi boleh kembali selepas tempoh tertentu.

“Kedua pula had sepanjang hayat, di mana seseorang hanya dibenarkan memegang jawatan berkenaan sejumlah penggal sepanjang hayat dan tidak boleh kembali selepas mencapai had maksimum yang ditetapkan,” jelas beliau.

Tambah Muna ‘Adila, kajian perbandingan perlembagaan menunjukkan had penggal lebih banyak diguna pakai dalam sistem pemerintahan berpresiden, berbanding jawatan Perdana Menteri dalam sistem parlimen.

“Di Eropah dan kebanyakan negara Komanwel, jawatan Perdana Menteri jarang dikenakan had tempoh,” ulasnya.

Beliau menjelaskan, keadaan itu kerana Perdana Menteri tidak memegang kuasa secara mutlak, sebaliknya kedudukannya sentiasa bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen dan parti politik.

“Jika hilang sokongan, beliau boleh tumbang bila-bila masa tanpa perlu menunggu tamat penggal,” tegasnya.

Muna ‘Adila turut menjelaskan bahawa di Malaysia, konsep had tempoh jawatan sebenarnya sudah wujud dalam beberapa institusi penting negara, antaranya jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dihadkan kepada tempoh lima tahun bagi setiap pelantikan, serta Ahli Dewan Negara yang dihadkan kepada dua penggal perkhidmatan.

Bagaimanapun, katanya, Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang had tempoh khusus bagi jawatan Perdana Menteri.

Mengulas sama ada had tempoh jawatan benar-benar penyelesaian terbaik kepada masalah rasuah dan pemusatan kuasa di Malaysia, Muna ‘Adila berkata dapatan kajian terhadap negara yang mengamalkan konsep berkenaan menunjukkan jawapannya tidak semudah yang disangka.

Terdahulu media tempatan melaporkan Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) berkata langkah itu bertujuan memastikan had tempoh jawatan diamalkan dan kepimpinan dapat diserahkan kepada generasi seterusnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2026

- Advertisement -