
KOTA BHARU: Kemiskinan keluarga tidak wajar dijadikan alasan untuk anak-anak tercicir atau gagal mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, sebaliknya mereka perlu dibimbing dan diberi sokongan menyeluruh sejak awal usia persekolahan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, setiap pelajar berhak dan mampu mencapai kecemerlangan tanpa mengira darjat serta latar belakang keluarga.
Katanya, pembinaan generasi baharu perlu diberi perhatian serius kerana merekalah bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa hadapan.
“Alasan keluarga miskin hanya mampu menyediakan anak-anak dengan menu telur bukan alasan untuk anak-anak gagal mencapai kecemerlangan.
“Sedangkan telur adalah menu sihat walaupun sederhana, malah merupakan sumber protein yang tinggi,” katanya yang juga ADUN Kijang ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School DUN Kijang di Dataran Kijang, dekat sini kelmarin.
Menurut beliau, walau apa pun latar belakang keluarga, anak-anak sebenarnya sihat dan berpotensi untuk berjaya sekiranya diberi tumpuan serta bimbingan yang betul.
Beliau berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk anak-anak yang pintar, berakhlak mulia dan berdaya saing melalui pendidikan yang sempurna.
“Hari ini kita perlu sepakat bahawa anak-anak adalah aset masa depan negara yang sebelum ini mungkin tidak disedari potensi mereka,” ujarnya.
Katanya, antara kebimbangan utama ialah hubungan yang tidak rapat antara anak-anak dan ibu bapa sehingga menyebabkan mereka berasa terasing dan cenderung memilih jalan yang salah.
“Apabila hubungan itu rapat, segala pesanan, teguran dan peringatan akan lebih mudah diterima oleh anak-anak,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan melalui teladan amat penting termasuk dalam amalan membaca al-Quran dan menunaikan solat sekiranya ibu bapa menginginkan anak-anak turut mempraktikkannya.
“Bukan setakat bercakap, tetapi ibu bapa perlu memeluk, membelai dan menunjukkan kasih sayang sebagai bukti mereka benar-benar peduli,” katanya.
Tambah beliau, anak-anak perlu diberi peluang belajar sehingga berjaya, memperoleh rezeki yang baik dan akhirnya mampu membantu orang lain termasuk menunaikan kewajipan zakat.
Menyentuh mengenai sumbangan Back To School itu, ADUN Kijang berkenaan berkata seramai 430 penerima menerima sumbangan melibatkan peruntukan keseluruhan RM51,000.
Katanya, setiap pelajar menerima sumbangan tunai berjumlah RM150 bagi memudahkan ibu bapa menggunakan bantuan tersebut untuk keperluan persekolahan termasuk membeli pakaian sekolah atau membayar yuran tertentu.
Menurutnya, jumlah penerima pada tahun ini merupakan yang tertinggi pernah direkodkan berbanding tahun-tahun sebelum ini hanya melibatkan sekitar lebih 200 penerima sahaja.
“Sumber bantuan ini diperoleh daripada kerajaan negeri termasuk agensi-agensinya serta sumbangan pihak penyumbang yang ingin turut membantu meringankan beban keluarga,” katanya.
Beliau menjelaskan, pertambahan penerima dibuat selepas mendapati terdapat keluarga yang terlepas pandang sebelum ini dan tidak pernah menerima sebarang bantuan.
“Alhamdulillah, hari ini ada penerima memaklumkan bahawa ini kali pertama mereka menerima sumbangan sedemikian,” ujarnya.
Tambah beliau, dari sudut nilai, bantuan kewangan itu mungkin tidak besar, namun pertemuan serta hubungan yang terjalin dengan ibu bapa melalui program seumpama itu jauh lebih penting. – HARAKAHDAILY 8/1/2026




















