
KOTA BHARU: Pungutan hasil negeri Kelantan sehingga 28 Disember 2025 mencecah RM879.79 juta atau bersamaan 88.22 peratus daripada anggaran tahunan, sekali gus membuktikan keupayaan pengurusan fiskal kerajaan negeri yang berdisiplin dan berhemah.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, prestasi pungutan hasil kukuh itu menjadi tunjang utama kepada kelangsungan pentadbiran serta asas perancangan pembangunan negeri yang lebih strategik.
“Hasil negeri yang kukuh, termasuk sumbangan besar daripada pentadbiran tanah, mineral, hutan dan sumber baharu, membuktikan keupayaan jentera negeri apabila bekerja secara berfokus dan berintegriti,” katanya.
Beliau berucap demikian sewaktu Amanat Tahun Baharu 2026 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menurutnya, bagi memperkukuh punca hasil baharu serta meningkatkan keupayaan kewangan negeri, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa petunjuk prestasi utama (KPI), antaranya kutipan tunggakan cukai tanah sekurang-kurangnya 80 peratus dan kutipan cukai tanah pada kadar 100 peratus.
“Penguatkuasaan terhadap hasil hutan dan sumber mineral seperti batu batan, mangan, bijih besi dan emas akan dipergiatkan, di samping semakan semula kadar sumbangan tetap anak-anak syarikat kerajaan negeri khususnya di bawah PKINK dan PMBK,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat-Pejabat Tanah dan Jajahan yang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil tanah bagi tahun 2025 dengan sumbangan melebihi RM380 juta sehingga Disember lalu.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan pentadbiran, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan prestasi yang baik itu tidak wajar menjadikan semua pihak alpa, sebaliknya perlu dijadikan penanda aras untuk penambahbaikan berterusan termasuk membanteras ketirisan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 8/1/2026




















