
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru yang terkesan dengan perobohan tempat tinggal mereka pada September lalu kini berdepan trauma berpanjangan, masalah kesihatan serta kehilangan tempat tinggal apabila terpaksa hidup berpindah-randah.
Wakil penduduk, Siti Khadijah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Jaja berkata, sebahagian besar mangsa terdiri daripada warga emas yang kini menumpang di rumah anak dan saudara selepas kediaman mereka dirobohkan.
Menurutnya, tekanan emosi akibat kehilangan rumah turut memberi kesan serius kepada tahap kesihatan penduduk terlibat.
“Ada yang dimasukkan ke hospital kerana tekanan emosi, rindu rumah dan masalah jantung. Ada juga yang terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan dari jauh kerana tidak lagi tinggal di kawasan asal,” katanya.
Beliau berkata demikian berkata demikian dalam episod khas podcast Harakahdaily Dari Jalan Pahang baru-baru ini yang dikendalikan moderator Suffi Kamari.
Beliau juga menolak dakwaan kononnya penduduk enggan berpindah kerana bersikap tamak, sebaliknya menegaskan mereka hanya mempertahankan kediaman yang telah didiami selama berpuluh tahun sebagai satu bentuk kehidupan bermasyarakat.
“Kami bukan tamak. Rumah itu adalah tempat kami membina kehidupan, membesarkan anak dan menjaga hubungan sesama jiran.
“Kehilangan rumah bukan sekadar kehilangan fizikal, malah telah meruntuhkan ketenteraman serta kesejahteraan hidup penduduk yang selama ini menetap di Kampung Sungai Baru,” katanya. –HARAKAHDAILY 8/1/2026











