Dasar RMMK 2026 luaskan peluang rakyat miliki rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) 2026 yang digubal dengan pendekatan lebih fleksibel bagi menyesuaikan peningkatan kos pembinaan serta kekangan pembiayaan perumahan.

Dasar berkenaan telah dimuktamadkan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, sebelum dipersetujui untuk diterima pakai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

- Advertisement -

Hilmi Abdullah berkata, penggubalan dasar baharu itu dibuat susulan peningkatan ketara kos bahan binaan, kos buruh serta harga hartanah, di samping syarat pembiayaan yang semakin ketat oleh institusi perbankan dan kewangan.

“Keadaan semasa menuntut satu pendekatan dasar yang lebih anjal dan bersifat praktikal supaya lebih banyak rumah mampu milik dapat dibangunkan dan ditawarkan kepada pembeli tanpa menambah beban kewangan mereka,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri itu berkata, dasar RMMK 2026 yang mula berkuat kuasa tahun ini memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik.

“(Iaitu) melalui dua kaedah utama iaitu jualan terus dan skim sewa milik (rent to own). Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mempunyai peluang untuk memiliki rumah kediaman pada harga yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, satu sesi perbincangan telah diadakan bersama Pengarah Bahagian Perumahan Negeri Kelantan, Nik Azhar Nik Abdul Aziz, bagi untuk pelancaran rasmi Dasar RMMK 2026 oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Untuk rekod, Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan diperkenalkan pada tahun 2015 dan telah dipinda pada 2020 bagi memenuhi keperluan serta cabaran semasa sektor perumahan. – HARAKAHDAILY 7/1/2026

- Advertisement -