MN 2.0 berasaskan politik angka, bukan nostalgia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Cadangan penyatuan semula BERSATU, PAS dan Umno menerusi gagasan Muafakat Nasional 2.0 (MN 2.0) wajar dinilai secara strategik berasaskan data keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bukan berpaksikan nostalgia atau sentimen emosi politik semata-mata.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, landskap politik Malaysia pasca PRU15 membuktikan bahawa kemenangan dan kekalahan tidak lagi ditentukan oleh gelombang emosi, sebaliknya oleh matematik undi yang jelas dan boleh dianalisis secara objektif.

- Advertisement -

Katanya, PRU15 memperlihatkan banyak kerusi Parlimen dimenangi Pakatan Harapan (PH) bukan kerana dominasi sokongan mutlak, tetapi akibat pertembungan tiga penjuru yang menyebabkan undi Melayu berpecah antara PAS atau Perikatan Nasional (PN) dan Umno atau Barisan Nasional (BN).

“Apabila undi PAS dan Umno digabungkan secara teori, keputusan di banyak kawasan berubah secara signifikan. Ini menunjukkan MN 2.0 bukan idea romantik, sebaliknya satu formula kuasa yang realistik berdasarkan angka,” katanya dalam satu analisis politik.

Beliau menjelaskan, di Parlimen Kapar misalnya, calon PKR menang dengan 65,751 undi, namun jumlah undi PN sebanyak 53,969 dan BN sebanyak 35,079 menjadikan keseluruhan 89,048 undi, iaitu lebihan lebih 23,000 undi berbanding PH.

Corak yang sama katanya, turut berlaku di Parlimen Sepang apabila PH memperoleh 56,264 undi berbanding gabungan MN sebanyak 78,412 undi, di Setiawangsa PH menang dengan 34,434 undi berbanding MN 38,603 undi.

Manakala di Sri Gading jelasnya, PH memperoleh 23,242 undi berbanding MN 37,717 undi serta di Kuala Langat PH mencatat 45,006 undi berbanding MN 60,441 undi.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Firdaus berkata analisis terhadap sekurang-kurangnya sepuluh kerusi utama termasuk Kapar, Sepang, Setiawangsa, Sri Gading, Labis, Sungai Petani, Tanjong Malim, Kuala Langat, Batu Pahat dan Alor Gajah menunjukkan pola konsisten, iaitu jumlah undi MN melebihi undi PH antara 4,000 hingga lebih 30,000 undi.

“Ini membuktikan kemenangan PH di banyak kawasan bukan kerana kekuatan sebenar sokongan, tetapi kerana undi lawan berpecah. Berdasarkan analisis ini sahaja, antara 20 hingga 30 kerusi Parlimen PH berada dalam kategori boleh dirampas jika MN 2.0 wujud dan bertanding satu lawan satu dengan calon yang sesuai,” ujarnya.

Menurut beliau, implikasi politik penyatuan ini amat besar apabila parti yang paling terdedah ialah PKR, PAN dan DAP, khususnya di kawasan separa bandar dan majoriti Melayu, dan kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan angka rasmi PRU15, bukan serangan retorik.

Di peringkat negeri pula, beliau berkata MN 2.0 bermula dengan kelebihan struktur yang jelas apabila negeri teras seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dijangka kekal di bawah penguasaan gabungan tersebut, malah berpotensi memperoleh majoriti yang lebih stabil.

“Negeri-negeri ini membentuk blok pertahanan kukuh yang memberi kelebihan moral dan organisasi kepada MN,” katanya turut menjelaskan bahawa Pahang dan Perak berada dalam kategori sangat berpotensi untuk dirampas kerana banyak kerusi marginal dimenangi dengan majoriti kecil.

Manakala Johor menurut beliau lagi, realistik untuk membentuk kerajaan negeri berdasarkan gabungan kekuatan tradisi Umno dan peningkatan sokongan PAS di kawasan separa bandar.

Katanya lagi, Melaka dan Negeri Sembilan berada pada tahap sederhana, manakala Selangor berdasarkan keputusan PRN 2023 tidak lagi mustahil untuk digugat sekiranya disiplin kerusi dan pemilihan calon dijaga rapi.

“Secara konservatif, MN 2.0 berpotensi menguasai antara tujuh hingga sembilan negeri, satu perubahan struktur besar dalam politik Malaysia,” ujarnya.

Mengulas kedudukan Pulau Pinang, beliau berkata negeri itu sering dilabel sebagai ‘kantung pitih’ DAP dan dianggap kebal, namun tanggapan tersebut hanya benar jika politik dibaca secara statik.

Menurutnya, melalui strategi mega Kedah–Pulau Pinang yang tersusun, MN 2.0 tidak mustahil menggugat Pulau Pinang, khususnya melalui mobilisasi undi Melayu di Seberang Perai, integrasi jentera Kedah dan Pulau Pinang serta pembinaan naratif ekonomi wilayah utara melibatkan isu kos sara hidup, perumahan dan peluang pekerjaan.

“Pulau Pinang kelihatan kebal kerana tiada pakatan besar Melayu-Islam yang bergerak serentak dan berdisiplin. Jika strategi ini dilaksanakan, DAP bukan sahaja kehilangan selesa, malah terpaksa bertahan secara defensif,” katanya.

Berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan, Mohd Firdaus berkata ambang 112 kerusi Parlimen boleh dicapai secara realistik apabila PAS yang kini memiliki 43 kerusi dan Umno (26 kerusi) membentuk asas 69 kerusi, sebelum ditambah 20 hingga 30 kerusi PH yang berpotensi dirampas.

Katanya, dengan sokongan tambahan dari Sabah dan Sarawak sekitar 10 hingga 15 kerusi melalui kerjasama terhad atau sokongan isu demi isu, MN 2.0 berpotensi mencapai antara 99 hingga 114 kerusi Parlimen.

Namun beliau mengingatkan bahawa kekuatan MN 2.0 bukan hanya bergantung kepada angka semata-mata kerana faktor penerimaan calon, persepsi pengundi bukan Melayu serta pengurusan pembahagian kerusi perlu ditangani dengan berhemah.

“MN 2.0 bukan eksperimen emosi atau projek nostalgia, tetapi formula matematik politik yang disokong data. Ia menjadikan Putrajaya sasaran yang realistik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tulisan tersebut sekadar kajian ringkas bagi menggalakkan anak muda berfikir secara realiti berasaskan data dan menambah kefahaman intelektual politik, selain menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan PAS pusat untuk membentuk wajah baharu politik negara. – HARAKAHDAILY 7/1/2026

- Advertisement -