Pemimpin PAS tamak kuasa?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Yusfarizal Yussoff menolak dakwaan bahawa pimpinan PAS bersikap tamak kuasa atau membolot jawatan, sebaliknya menegaskan parti itu tidak menjadikan kedudukan tertinggi parti sebagai keutamaan dalam menentukan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun dirinya antara ahli yang relatif baharu dalam PAS, namun pemerhatian jelas menunjukkan tiada budaya keterlaluan merebut jawatan dalam parti itu.

“Saya orang yang agak baru dalam PAS. Namun yang paling baru tidak semestinya paling tidak faham,” ujarnya dalam satu coretan.

Menurut beliau, dalam kebanyakan parti politik lain, ketua tertinggi parti di peringkat negeri lazimnya akan dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri sekiranya parti memenangi pilihan raya.

“Namun, dalam PAS tidak semestinya begitu. Ketua tertinggi parti PAS di negeri ialah Pesuruhjaya PAS Negeri. Namun, di Kedah, Terengganu dan Kelantan, Menteri Besarnya yang merupakan jawatan tertinggi pentadbiran kerajaan bukanlah Pesuruhjaya PAS Negeri,” terangnya.

Yusfarizal menjelaskan di Kedah, Pesuruhjaya PAS ialah Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, manakala Menteri Besar ialah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Di Terengganu pula menurutnya, Pesuruhjaya PAS ialah Dato’ Ustaz Husain Awang, manakala Menteri Besarnya ialah Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu di Kelantan tambahnya, Pesuruhjaya PAS ialah Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, manakala Menteri Besarnya ialah Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Nassuruddin Daud.

Beliau turut menyatakan bahawa Menteri Besar Perlis sebelum ini juga bukan lagi Pesuruhjaya PAS Perlis, jawatan yang kini disandang oleh Tuan Guru Ahmad Ali.

“Ini membuktikan bahawa pimpinan parti PAS tidak terlalu mengambil kira ‘ranking’ atau jawatan parti apabila memilih eksekutif pentadbiran kerajaan. Yang dipilih adalah yang dirasakan paling berkemampuan dan sesuai, sama ada ulama atau profesional,” ulasnya.

Menurutnya lagi, Pesuruhjaya PAS Negeri yang merupakan pimpinan tertinggi parti di peringkat negeri juga tidak berhasrat membolot jawatan eksekutif pentadbiran kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau membandingkan situasi itu dengan parti lain seperti Umno dan PKR, yang kebanyakannya melantik ketua parti negeri sebagai ketua eksekutif pentadbiran negeri.

Yusfarizal menyatakan bahawa di Johor, Pahang, Perak dan Melaka, Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri, manakala di Selangor dan Negeri Sembilan, Menteri Besar turut menjadi Pengerusi PKR negeri.

“Walaupun ada antara mereka yang dilantik sebagai pemimpin tertinggi Umno negeri selepas menjadi Menteri Besar, namun ironinya, pemimpin tertinggi parti Umno di sesebuah negerilah akan dipilih menjadi pemimpin eksekutif tertinggi negeri, dan sebaliknya,” kupasnya.

Beliau turut menyentuh situasi di Pulau Pinang apabila Pengerusi DAP Negeri sebelum ini, Chow Kon Yeow juga merupakan Ketua Menteri, sebelum jawatan pengerusi parti diserahkan kepada Steven Sim pada 2024.

“Apa yang saya mahu simpulkan daripada keadaan ini ialah, tidak benar langsung kalau ada yang ingin menyatakan pimpinan PAS bolot jawatan, atau PAS tidak terbuka memilih mereka yang berkemampuan.

“Walaupun PAS adalah parti ulama, dan semua ahli kuat menjunjung Kepimpinan Ulama, namun pimpinan PAS adalah paling terbuka dalam menentukan pentadbiran negeri atau negara supaya rakyat mendapat pentadbir yang benar-benar berkelayakan dan berkemampuan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/1/2026

- Advertisement -