
KUALA LUMPUR: Kunjungan hormat Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke atas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam disifatkan sebagai manifestasi kebersamaan yang utuh antara PAS dan BERSATU.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, pertemuan yang berlangsung di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara itu membawa makna besar kepada keutuhan gabungan tersebut.
Menurutnya, kehadiran Samsuri yang mewakili parti dilihat sangat tepat pada masanya, memandangkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan mata.
Manakala Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man pula kata Annuar, menguruskan majlis perkahwinan anakanda beliau.
“Kehadiran Dr Sam belum pun 24 jam tibanya Tan Sri Muhyiddin dari luar negara adalah kunjung hormat yang amat bermakna, dan tentunya mewakili PAS itu sendiri.
“Para pembuat spekulasi sudah tentu menulis pelbagai tafsiran tetapi yang pasti ia menggambarkan rasa hormat PAS pada Pengerusi PN, dan memahami prinsip kebersamaan PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Annuar menegaskan bahawa tindakan PAS segera bertemu dan berbincang secara ‘keluarga’ Perikatan Nasional (PN) membuktikan kematangan parti itu dalam menangani isu dalaman gabungan.
“Sebaik tersebar berita tentang hasrat Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan secara sukarela, maka sewajarnyalah PAS segera ‘mengadap’ dan berbincang mengenainya secara keluarga PN.
“Banyak yang begitu emosi berikutan beberapa peristiwa baru-baru ini. Namun Tan Sri Muhyiddin kekal fokus dan tenang (composed) dalam pendekatannya. Sementara PAS pula kekal utuh dan istiqamah pendiriannya, tidak mudah tersasar dengan pelbagai provokasi,” ujarnya.
Beliau turut mengambil contoh penyelesaian kemelut di Perlis sebagai bukti komitmen PAS terhadap setia kawan dalam PN.
Jelasnya, PAS segera menyelesaikan isu di Perlis dengan berlapang dada menerima pelantikan Menteri Besar daripada rakan komponen Bersatu, sekali gus membuktikan kesediaan parti untuk terus memimpin dan menyokong kelangsungan PN.
“Ini satu manifestasi kebersamaan PAS dan BERSATU dalam mendepani pelbagai isu mendatang. Masih banyak lagi isu yang mencabar keberadaan dan perjalanan PN selepas ini yang memerlukan kebijaksanaan dan kematangan bertindak.
“Pasti musuh akan merasa kecewa dengan kebijaksanaan dan kematangan bertindak pimpinan Perikatan Nasional,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/1/2026











