
SEPANG: Seramai 91 peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan 2.0 anjuran Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. menerusi kerjasama Yayasan Imanul Faizin dan Masjid Imanul Faizin, Kota Bharu berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi menunaikan umrah buat kali pertama.
Kesemua jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira jam 11 pagi menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH150 menuju ke Jeddah, Arab Saudi sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
Ketua rombongan, Rohani Md Yusoff berkata, program berkenaan bertujuan melahirkan belia berakhlak, berdisiplin dan berilmu di samping mengimarahkan institusi masjid serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, peserta terdiri daripada 50 wanita dan 41 lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun yang memenuhi syarat ditetapkan antaranya lahir di Kelantan, belum berkahwin serta belum pernah menunaikan umrah.
“Ia merupakan kesinambungan program tahun lalu, namun bagi edisi kali ini penekanan diberikan kepada pembentukan jati diri melalui pengisian rohani dan sahsiah, kewajipan solat berjemaah lima waktu, selain pendedahan kepada ilmu keusahawanan, komunikasi serta pengurusan jenazah,” katanya ketika ditemui di KLIA di sini, hari ini.
Menurutnya, sebelum pemilihan 91 peserta dibuat, proses saringan awal dan sesi temu duga ketat telah dijalankan melibatkan kira-kira 300 hingga 600 pemohon dari seluruh Kelantan.
Katanya, sepanjang berada di Tanah Suci, para peserta akan mengikuti program berjadual termasuk bimbingan ibadah umrah, tazkirah, sesi muhasabah diri serta aktiviti berkumpulan yang menekankan nilai kepimpinan, kerjasama dan adab sebagai tetamu Allah.

Sementara itu, peserta, Muhammad Ikram Azman, 20, menzahirkan rasa syukur dan gembira selepas terpilih menyertai program berkenaan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pengurusan Andalusia kerana memberi peluang kepada golongan muda seperti saya menunaikan umrah. Proses saringan yang dilalui agak sukar dan saya hampir tidak berjaya, namun saya berserah kepada ketentuan Ilahi,” katanya.
Seorang lagi peserta, Nur Amal Rumaisha Ek Noorza dari Pasir Mas pula menyifatkan pemilihan itu sebagai jemputan daripada Allah SWT yang tidak disangka-sangka.
“Ia menjadikan pengalaman menunaikan umrah percuma pada usia muda sebagai satu detik yang amat bermakna dalam hidup saya,” katanya.
Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan 2.0 merupakan edisi kedua selepas penganjuran tahun lalu dengan jumlah peserta meningkat, dan dijangka memberi impak berpanjangan dalam membentuk generasi muda yang berakhlak serta berperanan aktif dalam masyarakat selepas kepulangan mereka ke tanah air. -HARAKAHDAILY 4/1/2026




















