
SEMALAM, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Saleh, dalam Konvensyen Hala Tuju Umno Dalam Kerajaan Perpaduan telah menyatakan satu resolusi yang sangat jelas dan berani, ‘PAS dan Umno perlu kembali bersatu melalui Muafakat Nasional 2.0 demi menjaga kepentingan Melayu dan Islam’.
Kenyataan ini kemudiannya disambut oleh pimpinan Pemuda PAS, antaranya Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi.
Pada pandangan aku, ini adalah keputusan yang tepat dan rasional, mengambil kira pelbagai kerosakan yang telah berlaku sepanjang hampir 3 tahun pentadbiran Kerajaan Madani, khususnya yang menyentuh agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu.
DAP dan agenda Malaysian Malaysia
Sehingga hari ini, DAP masih bertegas mempertahankan agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang lahir daripada Deklarasi Setapak, satu fahaman yang bercanggah secara langsung dengan:
(1) Hak dan keistimewaan orang Melayu,
(2) Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,
(3) Prinsip Perlembagaan Malaysia itu sendiri.
Agenda ini jelas mahu menghapuskan garis Bumiputera dan bukan Bumiputera, atas nama kesamarataan mutlak, tanpa mengambil kira realiti sejarah dan kontrak sosial negara.
Ini dah tentu bertentangan dengan perjuangan Umno sebagai sebuah parti nasionalis Melayu yang sejak penubuhannya menjadikan Islam, Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu serta hak orang Melayu sebagai teras perjuangan.
Isu-isu agama: Pola yang sama, sensitiviti DAP yang melampau
Dalam Kerajaan Madani, kita melihat pola yang sama berulang, iaitu DAP sangat sensitif kalau perkara melibatkan orang Melayu Islam cuba dilaksanakan. Sebagai Contoh;
(1) Cadangan JAKIM untuk mewajibkan sijil halal kepada penyedia makanan untuk orang Islam, ditentang keras oleh DAP, dilabel membebankan dan memalukan negara. Akhirnya, cadangan ditolak kabinet.
(2) Garis panduan JAKIM untuk orang Islam melawat rumah ibadah bukan Islam, juga ditentang, akhirnya tidak diteruskan.
(3) Isu LGBT, kejadian sauna gay, pesta arak terbuka termasuk berhampiran kawasan sensitif, semakin berani dan terbuka, dengan tindakan penguatkuasaan yang lemah, malah ada yang dipertahankan oleh DAP.
Semua ini memperlihatkan satu realiti pahit iaitu apa sahaja yang berkait Islam, akan dibantah. Apa sahaja yang bercanggah dengan nilai Islam, akan dinormalkan.
Kelemahan kepimpinan dan kesan kepada Umno
Kelemahan beberapa menteri dalam Kerajaan Madani yang diharap digugurkan semasa rombakan kabinet juga tidak berlaku, bukan kerana prestasi, tetapi kerana survival politik PMX.
Ditambah pula dengan isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Setiausaha Politik PMX, imej Kerajaan Madani tercalar, dan Umno turut menanggung tempiasnya.
Hakikatnya mudah:
Orang Melayu tidak boleh menerima Umno bersama DAP. Titik.
Apa seterusnya?
Cadangan Pemuda Umno supaya Umno keluar daripada Kerajaan Madani adalah langkah yang tepat untuk kelangsungan politik Umno sendiri.
Namun, kita jangan syok cepat sangat.
Resolusi ini masih perlu;
(1) Dibawa ke Majlis Tertinggi Umno,
(2) Dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno,
(3) Dan akhirnya diluluskan atau ditolak.
Apa pun, tahniah kepada Ketua Pemuda Umno kerana berani bersuara.
Demi perpaduan Melayu Islam dan kestabilan negara, aku berharap Umno akan meluluskan usul ini.
Bak kata Ketua Pemuda PAS:
“Kita buat kasi jadi.”
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/1/2026











