
ALOR SETAR: Kedah membuktikan kedudukannya sebagai pemangkin utama pembangunan industri berteknologi tinggi negara apabila berjaya menarik pelaburan terkumpul sebanyak RM181.5 bilion di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Perkembangan pesat ini sekali gus mengukuhkan Kedah sebagai antara hab semikonduktor paling strategik di Malaysia.
KHTP menempatkan 56 pengeluar, termasuk lebih 20 syarikat multinasional dari 12 negara, yang disokong oleh 90 syarikat sokongan (ancillary).
Keyakinan pelabur terhadap potensi jangka panjang di negeri ini diterjemahkan secara jelas melalui pengumuman korporat di Bursa Malaysia pada 8 Ogos dengan Paramount Corporation Berhad mengumumkan pemerolehan empat lot tanah pegangan bebas di Lunas, Kulim.
Pemerolehan tanah berkeluasan 295.55 ekar dengan nilai RM128.74 juta itu akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh, Paramount Property (Seaview) Sdn Bhd daripada Golden Bluechip Sdn Bhd.
Cadangan pemerolehan tersebut dilihat selari dengan permintaan berterusan terhadap tanah industri berskala besar di Kedah khususnya bagi menyokong pembangunan sektor teknologi dan semikonduktor yang semakin berkembang pesat.
Langkah pelaburan ini turut mencerminkan keyakinan kukuh syarikat korporat terhadap kedudukan strategik Kedah dalam rantaian bekalan teknologi negara, sekali gus mengukuhkan lagi peranan negeri ini sebagai destinasi utama pelaburan industri berteknologi tinggi.
Dengan sokongan ekosistem industri yang mantap serta rekod pelaburan yang memberangsangkan, Kedah terus muncul sebagai antara negeri peneraju dalam agenda perindustrian berimpak tinggi, sejajar dengan keperluan ekonomi masa hadapan negara. – HARAKAHDAILY 26/12/2025




















