
KUALA LUMPUR: Kelantan berhasrat memperkukuhkan hubungan dua hala membabitkan kerjasama pendidikan bersama Algeria yang mempunyai lebih 90 buah institusi pengajian tinggi awam dalam pelbagai bidang pengajian.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Kamaruzaman Mohamad sehubungan itu telah mengadakan kunjungan hormat diadakan ke Kedutaan Algeria ke Malaysia, di sini kelmarin dahulu.
Beliau berkata Republik Demokratik Rakyat Algeria menawarkan peluang pendidikan kepada rakyat bagi melanjutkan pengajian ke negara itu melalui pelbagai inisiatif termasuk biasiswa dan kos pengajian rendah.
“Saya mengetuai kunjungan hormat ke atas Duta Besar Algeria ke Malaysia, Abdelhafid Bounour bertempat di Kedutaan Republik Demokratik Rakyat Algeria di Kuala Lumpur bagi mengeratkan hubungan dua hala.
“Pertemuan ini turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya bagi membuka peluang kepada anak-anak Kelantan untuk melanjutkan pengajian tinggi ke Algeria,” katanya.
Beliau yang mewakili Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat itu ditemani Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Ustaz Sukeri Hussin.
Media sebelum ini melaporkan Yayasan Terengganu (YT) secara aktif menaja dan menghantar pelajar cemerlang di negeri itu untuk melanjutkan pengajian agama ke negara yang terletak di utara benua Afrika itu.
Malah pelajar terbabit ditempatkan di Emir Abdelkader University of Islamic Sciences dan Algiers One University menjalani pengajian mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Lepasan sekolah di Kelantan terutamanya dari Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Agama Pondok (STUP) boleh melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, Mesir, Jordan, Maghribi dan Tunisia.
Ia merupakan destinasi popular bagi pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perubatan bahkan YIK sendiri turut menubuhkan unit kebajikan bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar di perantauan. – HARAKAHDAILY 26/12/2025











