Shukri tak main kayu tiga, dilihat jadi batu penghalang

Kepada golongan ingin tunggang PAS dan jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli wajar diletakkan sebagai qudwah dan ikon berkekalan bagi harakah Islam dalam perkara jihad, istiqamah, daya tahan dan kesolihan, ungkap Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Beliau menzahirkan setinggi penghargaan kepada pemimpin itu kerana telah membukti bahawa PAS adalah madrasah dan kilang kepimpinan siyasah Solihah Islamiyah yang sentiasa memikul panji-panji Islam dalam negara ini.

Katanya, selama tiga tahun Shukri bertahan memimpin PAS dan kerajaan di sebalik serangan bertubi dan agenda terancang dalam dan luar serta berjaya menghadapinya dengan langkah dan tindak balas tenang tanpa tunduk desakan merugikan jamaah.

“Sikap Shukri tulus dan tidak bermain kayu tiga terhadap amanah diberikan serta tidak meletakkan agenda peribadi dalam mengemudi PAS Perlis dan kerajaan.

“Justeru beliau dilihat sebagai batu penghalang terhadap pelbagai golongan yang ingin menunggang PAS dan jawatan yang mereka dapat dari kepercayaan rakyat.

“Barakallahu fikum dan semoga segala pengorbanan dan kesetiaan terhadap Islam dikurniakan Allah setinggi-tinggi ganjaran di dunia dan akhirat,” ucap Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Nassuruddin Daud turut mengungkap penghargaan buat Mohd Shukri yang disifatkannya telah mengajarkan erti jiwa besar dalam menghadapi gelombang ujian.

“Dirimu telah membuktikannya, segala jawatan dan kedudukan bukan bertakhta di hati bukan untuk dipegang erat sebagai kemegahan. Sesungguhnya dirimu telah melepasi beban maha berat sebuah kepimpinan.

“Dirimu bukan meminta mahupun melobi di atas satu bebanan yang bakal dipersoalkan hebat di akhirat kelak,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.

Menurutnya, kini antara mereka dipisahkan hanya pada kedudukan dan pangkat, namun hakikatnya kita kekal akrab dan utuh bersahabat di dalam sebuah jemaah yang amat dicintai di mana bertemu dan berpisah kerana jalan-Nya.

“Semoga kita tidak menjadi hina di sisi Allah dengan menyalahgunakan jawatan yang diperolehi hasil kepercayaan orang ramai. Berusahalah menunaikan tanggung jawab dengan bersungguh-sungguh kerana jawatan adalah suatu amanah,” ujarnya.

Nassuruddin turut menitipkan nukilan Imam As-Syafi’e bahawa kesabaran itu mendekatkan kepada pertolongan Allah dan akan beroleh keuntungan dan kejayaan serta dicintai Allah. – HARAKAHDAILY 26/12/2025

- Advertisement -

- Advertisement -