Baba-Nyonya, Chetti Melaka perlu jadi ikon perpaduan

- Advertisement -

KOTA MELAKA: Etnik Cina Baba-Nyonya dan Chetti yang berasal dari Melaka harus dijadikan ikon perpaduan kerana mereka telah berasimilasi dengan baik bersama bangsa Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, berbanding dengan etnik Cina dan India yang dipaksa untuk berubah di beberapa negara lain, etnik itu berasimilasi secara alami tanpa paksaan di sini.

“Sebagai wakil rakyat, saya sangat ambil berat tentang perkara ini (etnik Baba Nyonya dan Chetti) sebab saya takut nanti perkara ini akan hilang. Saya memang teruja untuk memperjuangkan perkara ini yang menjadi keunikan masyarakat di Melaka.

“Inilah keunikan Melaka yang kita boleh jadikan sebagai lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Tambahnya, beliau dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang lepas pernah mengajukan beberapa soalan berkaitan etnik Baba-Nyonya dan Chetti dalam usaha mengangkat mereka sebagai ikon perpaduan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, perkara itu akan beliau bangkitkan lagi pada sesi Ucapan Menjunjung Titah di-Raja dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

“Saya juga meminta agar mereka dapat memaklumkan kepada saya jika ada apa-apa permasalahan tentang etnik Baba-Nyonya dan Chetti untuk saya panjangkan ke Sidang Parlimen nanti.

“Kami sebagai Ahli Parlimen pembangkang memanglah tidak dapat membantu dari segi peruntukan tetapi kami berjanji untuk suarakan masalah etnik ini ke Parlimen,” katanya.

Jelas Bakri, selama ini terlalu banyak persepsi salah terhadap PAS kononnya parti itu rasis dan mengenepikan bangsa lain, sedangkan ia hanyalah satu naratif palsu yang dibawa oleh musuh-musuh politik PAS.

Tambah beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional Melaka, PAS terbuka untuk membawa isu rakyat tanpa mengira bangsa, keturunan atau warna kulit kerana mereka semua adalah rakyat Malaysia.

Bakri berkata demikian usai mengadakan lawatan ke Wisma Peranakan terletak di Jalan Tengkera yang merupakan sebuah pusat komuniti berkaitan dengan komuniti Baba Nyonya atau dipanggil juga sebagai ‘Peranakan’.

Dato’ Baba Ronald (kanan)

Dalam lawatan itu beliau bersama dengan rombongan staf Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu telah disambut oleh Pengerusi Komuniti, Dato’ Baba Ronald Gan Yong Hoe bersama dengan beberapa orang ahli jawatankuasa lain.

Ronald menzahirkan rasa terima kasih atas kesudian Bakri untuk mengadakan kunjungan ke Wisma Peranakan.

“Kita orang-orang Baba-Nyonya ni rasa teruja kerana YB Bakri adalah Ahli Parlimen pertama yang datang melawat kita di rumah kita ni. Terima kasihlah.

“Sebelum ni ADUN-ADUN ada yang datang. Tetapi untuk Ahli Parlimen, YB orang pertama,” katanya yang merupakan Presiden kelima komuniti tersebut.

Beliau turut mengimbau tentang keakraban Baba-Nyonya dengan masyarakat Melayu yang telah dianggap seperti saudara.

“Kalau kita imbas balik sejarah hitam negara dahulu, ‘peristiwa 13 Mei’ pada waktu itu satu titik pun darah orang Baba-Nyonya tak tumpah. Orang Melayu lindungi kami pada masa itu sebab mereka anggap kami juga macam mereka.

“Keselamatan kami dijaga waktu itu,” katanya turut membawa Bakri bersama rombongan dari Pusat Khidmat Tangga Batu melawat artifak-artifak menarik yang terdapat di dalam pusat komuniti  tersebut.

Lawatan yang berlangsung pagi tadi turut disertai oleh Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Shawn Loh Sheng Nian dan Ketua Penerangan DHPP Melaka, Dr Tony Khoo.

Wisma ini berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti, persatuan, mesyuarat, program budaya, atau ruang pertemuan untuk golongan yang berminat dalam budaya Peranakan di Melaka selain sebagai tempat jualan barang-barang Peranakan/Nyonya melalui Koperasi Baba Nyonya.

Baba dan Nyonya ialah keturunan ‘Cina Selat’ (Straits Chinese) di Nusantara yang menetap di negeri ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dan mereka menggabungkan budaya Cina dengan Melayu tempatan.

Budaya Peranakan terkenal dengan bahasa creole (Baba Malay), tradisi unik, makanan Nyonya yang kaya, dan pakaian seperti kebaya Nyonya di mana komuniti ini sebahagiannya menjadi simbol warisan budaya Melaka dan Malaysia secara umumnya. – HARAKAHDAILY 26/12/2025

- Advertisement -