
PAS pernah pertahankan seorang Menteri Besar (MB) dari PKR yang dianiayai oleh orang-orang sekeliling dan dari pimpinan parti mereka sendiri.
Agenda menjatuhkan MB bermula dengan puak-puak dalaman sendiri memburuk-burukan MB Selangor Arwah Tan Sri Khalid Ibrahim sekitar 2014.
Dibuatnya roadshow seluruh Selangor dan fitnah agar MB Selangor ini jatuh. Hanya semata-mata untuk menaikkan seseorang pada waktu itu.
Dalam situasi ini arwah seolah-olah tidak ada nilai sedikit pun di kalangan PKR. Maka PAS hadir mempertahankan MB waktu itu.
Campur tangan dan ketegasan Tuan Guru Presiden PAS banyak membantu MB menghadapi serangan bertali arus dari pimpinan PKR Pusat.
PAS bantu kerana yakin ada agenda lain dan sudah dapat dihidu. Bahkan dalang fitnah krisis ini dah menjadi Menteri pun sekarang ini yang menjadi dalang utama projek Langkah Kajang.
Selepas beberapa tahun dia pernah mengaku akan projek menjatuhkan MB Selangor waktu itu. Setelah fitnah berjaya menyakinkan sebahagian ahli-ahli PKR Selangor, mereka beralih ke fasa demi fasa agar agenda menyingkirkan MB berjalan lancar.
Ini kerana ada seorang ‘Orang Besar PKR’ perlu diangkat menjadi MB Selangor yang baharu kerana MB yang ada tidak berani menggunakan dana kerajaan untuk PKR, walaupun MB ini betul dan mengekalkan amanah menjaga duit rakyat Selangor untuk rakyat Selangor.
Antara sebab perlunya penyingkiran Tan Khalid Ibrahim disegerakan ialah kerana PKR merasakan mereka terhalang untuk menggunakan rizab simpanan Selangor untuk kepentingan politik mereka bersama DAP untuk menghadapi PRN Sarawak pada waktu itu.
Ketidaksabaran Anwar untuk bertapak dan mempunyai kedudukan selayaknya juga telah mencetuskan huru-hara dan punca ketidakstabilan kerajaan Selangor waktu itu.
Mereka merancang tempat Tan Sri Khalid mesti diganti dengan Anwar sebagai MB Selangor yang baru. Namun PAS banyak menghalang keinginan PKR ini menyebabkan banyak langkah PKR terbantut.
PAS bertindak sebagai rakan Pakatan waktu itu tidak bersetuju. PAS telah menegaskan tidak akan menyokong projek Langkah Kajang jika ingin menukar Menteri Besar.
Maka tercetuslah ‘Langkah Kajang’ dan perang dingin bermula, melalui satu surat bertarikh 27 Januari 2014, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, Lee Chin Cheh telah menyatakan perletakan jawatannya sebagai ADUN Kajang berkuat kuasa serta merta.
Anwar digambarkan akan mencalonkan dirinya sebagai calon dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor. Pelan ini tidak menjadi.
Kes peribadi Anwar tercetus selepas itu. Terpalit dan gagal hadapi tekanan kesnya, beliau disahkan tidak layak bertanding. Wan Azizah jadi galang gantinya. Wan Azizah menang selesa, Maka langkah seterusnya ialah kerusi Menteri Besar.
Dengan keputusan PRK itu Selangor bakal memiliki Menteri Besar wanita yang pertama… Istana mengarahkan Tuan Guru Presiden PAS mengadap. Memberi pandangan dalam situasi ini.
PAS mengambil langkah selamat dan berhemah dengan mencadangkan tiga nama calon Menteri Besar berbanding PKR disokong kuat DAP hanya bertegas dengan nama tunggal iaitu Wan Azizah.
Setelah krisis ini berlarutan, akhirnya Istana Selangor menerima nama yang dibawa oleh rombongan Presiden PAS dan salah seorangnya diterima Istana iaitu Azmin Ali.
22 September 2014 Azmin Ali dilantik Menteri Besar Selangor yang sah. Inilah antara bukti dan sejarah pengkhianatan orang-orang parti PKR terhadap MB mereka sendiri.
Dan tidak kira parti mana pun. Jika fitnah, jatuh menjatuhkan untuk agenda peribadi akan merosakan organisasi itu.
Dalam situasi berlaku di Perlis hari ini, PAS dilihat mempunyai perlembagaan yang sangat padu.
Tiga orang ADUN itu terhenti dengan sendirinya ahli mereka setelah merujuk kepada Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b)perlembagaan PAS (pindaan 2025). Lebih manis, orang yang terlibat kedua-dua pihak terikat dengan ketetapan parti.
Satu pihak terhenti dengan sendirinya dan satu pihak lagi, MB Perlis melepaskan jawatanya agar krisis ini dapat dinoktahkan mengikut aturan parti dan beliau membuat keputusan dengan penuh terhomat dan bermaruah.
PAS tidak boleh lari dari krisis dalaman, tapi bagaimana PAS dilihat mengurus krisis ini dengan kebijaksanaan Tuan Guru Presiden mengawal parti besar ini.
PAS juga berani memberi pandangan dan bertindak terhadap parti-parti pakatan dan gabungan demi ummah sejagat.
Catatan dan ulasan,
NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 27/12/2025











