
KUALA LUMPUR: PAS masih memiliki kerusi majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, sehubungan itu telah mengemukakan nama ADUN parti itu untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perlis menggantikan Mohd Shukri Ramli.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS pada ketika ini masih lagi mengatasi kedudukan yang ada iaitu dengan enam kerusi, berbanding lima lagi dimiliki rakan sekutunya BERSATU dengan lima kerusi.
Menurut beliau, susulan terhenti keahlian PAS tiga ADUN dari parti itu dan pengosongan luar jangka diisytiharkan Speaker DUN Perlis, PAS bersedia untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi terbabit, termasuk jika Pilihan Raya Negeri (PRN) sekalipun.
Bagaimanapun katanya, pemerintahan Kerajaan Negeri Perlis masih boleh terus dilangsungkan dengan kedudukan yang ada sepertimana Menteri Besar Selangor, Almarhum Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir bersama empat Exco dahulu.
Beliau turut mengakui kemelut berlaku di Perlis juga adalah ujian kesetiaan dalam hubungan PAS dan BERSATU di mana berharap sebagaimana PAS bertindak terhadap tiga ADUN-nya, maka BERSATU juga akan berbuat demikian terhadap lima ADUN-nya.
Tambah Tuan Guru, sepertimana Speaker DUN Kelantan telah bertindak ke atas ADUN Nenggiri daripada BERSATU ketika parti itu mengalami kemelut seumpama, oleh itu kini parti tersebut juga atas setia kawan perlu melakukan sedemikian.
“Jadi bila kita tarik ni keahlian ahli kita, dia (BERSATU) pun kena tariklah keahlian (mereka itu),” ujarnya ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.
Kata beliau, segalanya terpulang kepada BERSATU, namun mengingatkan dalam setia kawan sepatutnya sama-sama bertahan, bukan menjatuhkan, namun PAS sama sekali tidak menghukum keadaan di Perlis sebagai mewakili BERSATU secara keseluruhan.
Tuan Guru Abdul Hadi juga yakin kemelut di Perlis tidak mengurangkan sokongan rakyat kepada parti itu sebaliknya reaksi diterima menunjukkan simpati meluas daripada ramai untuk PAS terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Ditanya wartawan mengenai hasrat rayuan oleh kalangan bekas ADUN PAS terhenti keahlian itu, beliau menyatakan terserah untuk mereka berbuat demikian, namun mengingatkan bahawa mereka telah berbai’ah dengan sumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi”.
Tegas beliau, mereka atas pegangan bai’ah itu telah melawan arahan parti yang tidak bercanggah hukum Islam, oleh itu rayuan mereka tersebut tidak akan diterima parti. – HARAKAHDAILY 26/12/2025











