Shukri memerintah dengan adil, dia telah dizalimi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa bangga terhadap Mohd Shukri Ramli kerana telah memerintah dengan adil dan baik kepada rakyat sepanjang mentadbir Kerajaan Negeri Perlis sebagai Menteri Besar.

Kata beliau, Mohd Shukri tidak berlaku zalim kepada sesiapa, sebaliknya telah dizalimi dan orang Islam telah diajar oleh Nabi Muhamamd SAW meyakini bahawa mereka yang dizalimi doanya diterima oleh Allah SWT.

“Jadi kita mintalah ahli-ahli PAS berdoa pada Allah Taala. Tak ada orang yang dizalimi tu Tuhan tak terima doa dia. Mesti orang yang zalim akan terima akibat dia sama ada masa dekat atau masa jauh mesti.

“Nabi sebut kalau orang kafir kena zalim pun dia doa Tuhan terima. Ha pelik tak orang bukan Islam kita buat zalim dekat dia, (bila) orang kafir tu minta dengan Tuhan, Tuhan terima doa dia. Apa lagi orang Islam.

“Sebab tu kita orang Islam dilarang kita buat zalim kepada siapa walaupun terhadap orang bukan Islam, tak boleh. Kerana Nabi kata doa orang yang kena zalim Tuhan terima walaupun dia seorang bukan Islam,” ujarnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian sebagai mengulas kemelut politik yang berlaku di Perlis ketika beliau ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

Sehubungan itu beliau percaya kebaikan dibuat Mohd Shukri akan membolehkan PAS terus mendapat sokongan rakyat seandainya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri itu, malah PAS turut bersedia andai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekalipun.

“Kerana dia (Menteri Besar) yang turun ke medan. Orang masih sokong dia, tapi dia tak nak, dia tak nak jadi Menteri Besar dah, bagi orang lain. Tak nak sebab kesihatan dia,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 26/12/2025

- Advertisement -
- Advertisement -