
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Perlis diterajui Perikatan Nasional (PN) mengalami kemelut politik sebagaimana perkembangan terkini adalah disebabkan dua perkara utama iaitu kerana hendak jawatan dan mahukan projek.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS hanya akan memberikan jawatan kepada orang berlayakan dan tidak akan memberikan kepada mereka yang meminta untuk dilantik kepada sesuatu jawatan.
“Kerana sifat minta ni bukan sifat kita (orang beriman). Kerana Nabi kata orang minta jawatan ni orang meringankan amanah. Jawatan ni adalah amanah. Bila dia minta dia meringankan amanah.
“Kalau dia terima jawatan dengan meminta, Tuhan beban atas kepala dia. Macam kita tengok hari inilah negara diperintah oleh orang yang minta jawatan, minta Perdana Menteri, Tuhan bagi rasa, betul yang Nabi kata tu betul-betul berlaku,” ujarnya.
Ahli Parlimen Marang tersebut mendedahkan demikian ketika ditemui media di kediaman beliau selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.
Menurut beliau, perkara terjadi di Perlis apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS dipengaruhi untuk menandatangani akuan berkanun (SD), selain bersama mereka juga adalah lima ADUN BERSATU.
Manakala berkaitan sebab mahukan projek jelasnya, wujud kemahuan kepada projek yang banyak dan besar di Perlis untuk diberikan atau didapatkan secara tidak mengikut peraturan atau secara salah di mana di sebaliknya ada rasuah dan lain-lain.
“Saya tak perlu sebutlah siapa-siapa dia. Ini sebabnya (masalah di Perlis itu). Jadi bila kuat tekanan tu, jadi kita bertindak dalam kuasalah,” jelas beliau menyusuli pengumuman dibuatnya kelmarin.
Kata Tuan Guru juga, PAS pernah mengalami pengalaman seperti itu ketika mula-mula memerintah negeri Terengganu dahulu tahun 1959 di mana berlaku undi tidak percaya kepada Menteri Besar apabila wakil rakyat PAS dibeli.
Ketika itu maklumnya, Kerajaan PAS Terengganu hanya bertahan dua tahun setengah dan perkara seumpama turut berlaku pada tahun 1978 ke atas Kerajaan PAS Kelantan di mana terdapat usaha undi tidak percaya kepada Menteri Besar.
Beliau juga mengimbas usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Kedah diketuai PAS semasa dipimpin Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di mana terdapat hasutan hingga ada ahli-ahli PAS berhimpun dan membuat desakan.
Kini katanya, perkara serupa berlaku di Perlis, sedangkan PAS sudah menetapkan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar selepas PN memenangi 14 daripada 15 kerusi di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
“Sebenarnya Cikgu Shukri tu dia ada masalah kesihatan sebelum pada pilihan raya lagi, pernah rebah sebab serangan jantung masuk hospital. Tapi kita anggap dia paling layak jadi Menteri Besarlah. Tiga tahun ni (kerajaan) berjalan molek, tahun ni tiba-tiba sampai akhir hujung tu berlakulah apa yang berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/12/2025











