
KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Negeri (MTMN) Kelantan bagi Tahun 2025.
Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dalam satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu membicarakan hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif kerajaan iaitu Kempen Internet Selamat (KIS).
Malah beliau berkata, antara komponen utama kempen itu ialah penggunaan chatbot sebenarnya.my atau artificial inteligence fast-check assistant (AIFA), inovasi tempatan yang dilancarkan pada 28 Januari lalu.
“Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuk taklimat advokasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang turut merangkumi Kempen Internet Selamat.
“Penggunaan teknologi kecerdasan buatan melalui Chatbot AIFA bagi menangani sebaran berita palsu dan inisiatif MCMC Nexus bagi pengukuran kelajuan internet berasaskan data awam,” kata beliau.
Turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad.
Wan Roslan menambah, pada mesyuarat tersebu turut menerima pembentangan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berhubung status pelaksanaan program ekonomi digital di Kelantan.
Menerusi kerjasama antara negeri dan Persekutuan kata beliau, kerajaan negeri berjaya melancarkan Pelan Tindakan EKonomi Digital Kelantan 2030 bagi memacu pendigitalan semua sektor ekonomi.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh agenda teknologi maklumat dan pendigitalan negeri secara berperingkat dan menyeluruh, agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat.
“Ini selaras dengan keperluan semasa dan hala tuju pembangunan negeri dilaksanakan kerjasama agensi negeri dan persekutuan untuk pasti kita kekal relevan dalam ekonomi digital,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/2025




















