PAS adalah parti masa depan Malaysia

- Advertisement -

HARI INI semakin ketara bercelarunya Barisan Nasioanl (BN). Walaupun Umno menjadi tonggak pemerintahan negara selama 60 tahun, ia masih belum cukup untuk mematangkannya.

- Advertisement -

Umno dilihat sangat mementingkan diri dalam banyak hal berkaitan kelangsungan BN. Umno hari ini begitu terpesona dengan DAP sehingga membiarkan sahabatnya puluhan tahun iaitu MCA dan MIC begitu sahaja.

Inilah antara punca mengapa BN sukar untuk dipulihkan. Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sendiri menghancurkan BN. Umno benar-benar telah masuk perangkap Pakatan Harapan (PH) terutama DAP.

Malahan sifat tamak Umno mengambil semua lapan jawatan menteri jelas menunjukkan betapa buruknya layanan Umno kepada MCA dan MIC. Dengan kata lain, jika ingin mengenal kawan, kenal sewaktu ketika waktu susah.

Benar dari segi metamatiknya MCA dan MIC tidak menyumbang kerusi yang banyak kepada BN pada PRU-15. Namun jika Umno menghargai perjuangan dan persahabatan, pasti dua parti ini dilayan dengan lebih baik.

Atas sebab itulah MIC memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN). Diharapkan MCA akan menyusul segera sebelum PRU-16 nanti. Tiada apa lagi yang perlu dipertahankan oleh MCA dan MIC dalam konteks kelangsungan BN kerana kecenderungan Umno untuk membina jajaran baru bersama PKR dan DAP semakin jelas berbanding menyusun kebangkitan bersama MCA dan MIC.

Malahan jika MIC dan MCA masih dalam BN, secara asasnya mereka akan bertanding di tiga kerusi parlimen sahaja iaitu Ayer Hitam dan Tanjung Piai (MCA) dan Tapah (MIC) di samping mana-mana kerusi PH kalah atau dengan kata lain di kerusi yang mereka ‘tidak mahu’.

Jadi MCA dan MIC mempunyai peluang lebih baik jika bersama PN dalam usaha mereka membina kembali imej dan reputasi serta kepercayaan rakyat.

PAS dan BERSATU sudah jelas akan kerusi masing-masing dan lawan mereka di PRU-16 nanti adalah Umno dan PKR. Jadi jika MCA bersama PN, MCA berpeluang untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh DAP. Jika disusun dengan baik contohnya kerjasama strategik di antara MCA dan GERAKAN, satu kekuatan baru di blok masyarakat Cina akan dapat dibentuk oleh PN.

Begitu juga dengan MIC di mana jika MIC bersama PN, MIC boleh berkerjasama dengan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan bertanding menentang PKR dan DAP di semua kawasan yang biasa ditandingi ketika bersama BN dahulu. Usaha ini juga akan memperkukuh sokongan masyarakat India kepada PN.

Menariknya MIC telah membuat permohonan untuk menyertai semula PN dan diyakini permohonan itu akan disambut baik oleh kepimpinan tertinggi PN. Namun dalam konteks MCA pula, parti ini masih ragu-ragu dan ianya banyak berkait dengan persepsi mereka terhadap PAS.

Sebenarnya tiada apa perlu dibimbangi oleh MCA untuk bersama PN. Sejarah telah menunjukkan dengan jelas bahawa PAS adalah parti yang konsisten dalam pejuangannya. Pada asasnya PAS komited membina Malaysia yang adil, progresif dan maju selari dengan nilai-nilai Islam dan sejagat.

Sekiranya MCA bimbang tentang Islam yang menjadi asas perlembangaan PAS, itu bermakna kepimpinan MCA masih terperangkap dengan kefahaman sempit dan keras yang sering digambarkan oleh Umno terhadap PAS sejak puluhan tahun dahulu.

Paling hampir MCA pada PAS adalah ketika bersama dalam kerajaan Muafakat Nasional selama 33 bulan dahulu.

Adakah PAS mengusulkan apa-apa dasar yang bersifat menzalimi orang Cina khususnya atau bukan Islam di Malaysia amnya. Jawapannya tidak. Malahan kepimpinan PAS mahupun PN amat berhati-hati dan menjaga hati semua pihak dalam setiap keputusan yang di buat. Pendekatan ini bertunjangkan kepada ajaran Islam yang selari dengan nilai sejagat.

Malahan dalam kajian oleh Micheal H. Hart tentang tokoh-tokoh berpengaruh dunia, beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin paling berpengaruh dan dihormati dalam sejarah peradaban dunia.

MCA tidak perlu bimbang sama sekali dengan lautan kopiah putih kerana dalam PAS hari ini juga ada lautan profesional. Malahan ramai dalam kalangan kepimpinan PAS hari ini terdiri daripada para profesional dalam pelbagai bidang yang berkelulusan baik dari dalam dan luar negara.

Gabungan golongan agamawan dan profesional dalam PAS ini memberi gambaran betapa dinamik dan progresifnya PAS dan orang Melayu hari ini. Malaysia pasti akan lebih baik lagi apabila dua lagi bangsa terasnya iaitu Cina & India bersama membina Malaysia baharu.

Resepi terbaik untuk membina masa depan Malaysia masih lagi menerusi kerjasama erat antara parti-parti utama yang berasaskan bangsa. PAS dan BERSATU menjaga kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam. MCA menjaga kepentingan bangsa Cina dan agama Buddis, manakala MIC menjaga kepentingan bangsa India dan agama Hindu.

Itulah kaedah terbaik untuk setiap kepentingan bangsa dan agama dijaga dan diangkat oleh parti masing-masing ke kepimpinan tertinggi PN untuk diperhalusi dan diadun sebaiknya untuk menjadi resepi terbaik untuk membawa negara majmuk bernama Malaysia kehadapan dengan penuh keharmonian.Hari ini PN yang menawarkan platform terbaik untuk tujuan tersebut.

Di samping itu, jika PN diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara dalam PRU-16 nanti, PAS khususnya komited dalam memastikan ahli parlimen yang benar-benar berpengetahuan dipilih untuk mengisi satu-satu jawatan penting seperti menteri dan jawatan-jawatan strategik yang lain.

Jika tiada ahli parlimen yang mempunyai kriteria seperti yang dikehendaki, maka teknokrat atau tokoh dalam bidang itu akan dilantik mengisi portfolio tersebut. Ini adalah komitmen PAS dalam usaha memastikan kebangkitan Malaysia dapat direalisasikan.

Menerusi pendekatan yang pragmatik tersebut, PAS atau PN berkeyakinan mampu menawarkan kesejahteraan hidup lebih baik buat rakyat Malaysia.

PAS yakin jika MCA dan MIC serta lain-lain parti gabungan dalam PN mampu membangunkan ekonomi negara dan rakyat dengan lebih baik, menawarkan tadbir urus lebih cekap dan telus di setiap peringkat pentadbiran, membentuk sistem pendidikan lebih bersepadu iaitu mampu menjadi medium perpaduan kaum terbaik di negara ini.

Di masa sama PN akan memastikan pendididikan mampu melonjakkan potensi diri dan kecemerlangan kerjaya anak-anak Malaysia, menawarkan perkhidmatan kesihatan lebih cekap dan mesra rakyat, membangunkan cara hidup bermasyarakat yang lebih harmoni dan melonjakkan keperkasaan negara dalam aspek keselamatan dan kedaulatan negara di pentas dunia.

Jadi, ayuh MCA, MIC dan semua untuk bersama PN dalam usaha memberi tawaran dan harapan lebih baik seluruh rakyat Malaysia.

PROF DR HAIM HILMAN ABDULLAH
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Exco Kerajaan Negeri Kedah
Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra – HARAKAHDAILY 22/12/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -