
IPOH: Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) baru-baru ini disifatkan sebagai ‘lampu hijau’ untuk mempercepatkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal mengancam hak milik tanah rakyat.
Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Khalil Yahaya berkata, pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dilihat sebagai pelengkap strategik kepada agenda Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bagi memacu dasar perbandaran tersebut.
Tegasnya, gandingan dua pemimpin DAP di portfolio strategik itu membuka laluan luas untuk agenda URA dilaksanakan di kawasan bandar tanpa semak dan imbang yang berkesan.
”Nga Kor Ming kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri untuk meneruskan bacaan kedua RUU URA. Dengan Hannah Yeoh kini menerajui Wilayah Persekutuan, halangan untuk melaksanakan agenda ini di ibu negara semakin nipis.
”PAS Perak bimbang gandingan ini akan mempercepatkan pelaksanaan akta tersebut yang memberi kuasa luar biasa kepada menteri untuk mewartakan mana-mana kawasan sebagai ‘Zon Pembaharuan’.
”Ini sekali gus mendedahkan rumah bertanah (landed property) milik rakyat kepada risiko pengambilan paksa demi keuntungan pihak kapitalis atas nama pembangunan,” katanya.
Selain isu URA, Khalil turut menyifatkan rombakan kabinet ini sebagai isyarat rasmi terkuburnya agenda reformasi apabila beliau kekal memegang jawatan Menteri Kewangan.
Jelasnya, tindakan PMX membolot jawatan itu membuktikan segala retorik mengenai akauntabiliti dan pemisahan kuasa hanyalah sandiwara kosong, menjadikan Janji 12 Manifesto Pakatan Harapan sekadar lagu nostalgia.
”Apa yang dipersembahkan bukanlah pasukan untuk memulihkan negara, tetapi ‘Jemaah Menteri Pra-Pilihan Raya’ yang disusun demi kelangsungan (survival) politik peribadi Perdana Menteri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalil menyifatkan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah strategi licik PMX untuk menyeret Umno ke dalam ‘liabiliti bersama’ berhubung perjanjian perdagangan antarabangsa.
Manakala pelantikan dan pengekalan tokoh muda seperti Adam Adli disifatkan sekadar langkah kosmetik untuk menjinakkan idealisme mahasiswa menjelang PRU-16.
”Mahasiswa akan menuntut janji beliau untuk menghapuskan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Jika beliau gagal, ia hanya akan menambah kemarahan anak muda terhadap kerajaan,” katanya.
Justeru, PAS Perak menegaskan bahawa negara tidak wajar dipimpin oleh sebuah ‘Kabinet Percubaan’ yang hanya memikirkan strategi memenangi pilihan raya akan datang tanpa menghiraukan nasib dan harta benda rakyat. – HARAKAHDAILY 20/12/2025











