
KANGAR: Bencana banjir yang melanda negeri Perlis sejak 24 November hingga 2 Disember 2025 memberi kesan besar kepada sektor pertanian negeri, khususnya tanaman harumanis dan padi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan, Razali Saad berkata, laporan awal menunjukkan sebanyak 78.03 hektar tanaman harumanis terjejas, melibatkan 59 orang petani dengan anggaran kerugian RM1,170,450.
“Walaubagaimanapun, bancian akan terus dijalankan oleh Pejabat Pertanian Daerah bagi mengenalpasti jumlah sebenar keluasan dan bilangan petani yang terjejas kerana masih terdapat kawasan petani yang belum memberikan laporan,” katanya.
Razali menjelaskan, kawasan Padang Siding merupakan lokasi paling terjejas, diikuti kawasan Bintong namun, status kawasan terlibat masih belum dimuktamadkan kerana terdapat lokasi yang masih belum surut sepenuhnya.
Bagi tanaman padi pula, jumlah kerugian jauh lebih besar apabila 9,286 pesawah terkesan melibatkan 14,785.56 hektar dengan nilai kerugian RM41,044,714.56.
Bagi mengurangkan beban pesawah dan petani, Razali memaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah mengaktifkan pelbagai skim bantuan.
Menurut beliau, antara skim yang disediakan ialah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP), Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP).
“Pesawah dan petani boleh membuat permohonan di Pejabat Pertanian Daerah serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkaitan.
“Jabatan Pertanian turut menggerakkan pegawai APT (Agen Pengembangan Tanaman) ke lapangan untuk memantau, menilai dan membantu petani dalam penyediaan laporan tuntutan bencana,” ujarnya.
Razali menjelaskan bahawa tuntutan untuk TBTP dan STTP adalah berdasarkan umur tanaman padi (Hari Lepas Tanam), dengan pengiraan nilai kerosakan mengikut Garis Panduan Tabung Bencana.
Sementara itu katanya, tuntutan bagi TBP dibuat mengikut kategori tanaman, dengan had maksimum 6.5 hektar per pemohon atau 10,000 polibeg per pemohon bagi pengusaha fertigasi.
“Pengusaha agropelancongan, Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) dan pemasar agromakanan turut layak menerima bantuan,” jelas beliau.
Menurut Razali, kerugian yang dizahirkan akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal yang dilantik jabatan dan bantuan disalurkan adalah tidak melebihi 50 peratus daripada penilaian kerugian dan dibuat secara ‘one-off’ kepada petani terjejas.
“Semua pengiraan bantuan Tabung Bencana dibuat mengikut SOP dan Garis Panduan Tabung Bencana,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat.
Perkara ini sekali lagi menonjolkan komitmen kerajaan negeri dan agensi pertanian Persekutuan dalam memastikan pesawah serta petani Perlis tidak dibiarkan menanggung beban sendirian.
Lebih-lebih lagi selepas banjir besar yang turut merosakkan infrastruktur luar bandar, sistem saliran serta mengehadkan akses ke beberapa kawasan pertanian. – HARAKAHDAILY 6/12/2025





















