
KANGAR: Perlis menggerakkan usaha pemulihan pascabanjir secara besar-besaran apabila program Cuci Besar-Besaran Pascabanjir mula dilaksanakan di seluruh negeri bermula semalam hingga esok bagi membantu penduduk yang terkesan membersihkan kediaman mereka.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, program mobilisasi besar ini menghimpunkan kira-kira 300 sukarelawan dari seluruh negara yang ditempatkan di kawasan-kawasan paling terjejas bagi mempercepat proses pembersihan, khususnya melibatkan lumpur tebal, sisa banjir serta pelbagai kerosakan dialami penduduk.
Inisiatif itu jelasnya, menjadi antara agenda utama Pejabat Menteri Besar (PMB) dalam memastikan pemulihan rakyat berlangsung segera dan berkesan, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan rakyat diberikan keutamaan.
“Petang ini saya hadir ke Bilik Gerakan Negeri Khidmat Malaysia Perlis yang beroperasi di Balai Islam, Madrasah Ad-Diniyah Al-Islamiah (MADI) bagi meninjau perjalanan Dapur Rakyat yang terus berkhidmat sepanjang bencana banjir di negeri kita.
“Alhamdulillah, kita menerima kehadiran ramai sukarelawan Khidmat Malaysia dari pelbagai negeri yang turun membantu menjayakan program Cuci Besar-besaran selama tiga hari bermula hari ini.
“Program ini turut mendapat kerjasama padu daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) serta pasukan sukarelawan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) yang bertindak sebagai jentera utama pembersihan,” ujar beliau semalam.
Menurutnya, Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) memainkan peranan sebagai pasukan sukarelawan teras yang berganding bahu dengan PMB untuk memastikan operasi pembersihan dapat dijalankan dengan cepat, tersusun dan menyeluruh di semua kawasan terlibat.
“Semoga segala usaha dan baktian ini dipermudah serta memberi manfaat kepada seluruh mangsa banjir di Perlis,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Penduduk yang masih memerlukan bantuan diminta menghubungi MPKK setempat atau urusetia program bagi membolehkan kehadiran sukarelawan dijadualkan mengikut keutamaan dan lokasi diperlukan.
Semua bantuan yang digerakkan adalah sepenuhnya percuma, sebagai usaha bersama PMB, MPKK, PKWR dan sukarelawan Khidmat Malaysia bagi meringankan beban rakyat Perlis yang baru sahaja berdepan musibah banjir. – *HARAKAHDAILY 6/12/2025*













