Kecewa jawapan kerajaan, Pemuda PAS lancar jelajah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meluahkan rasa kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh kerajaan negeri semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2026, yang disifatkan gagal tuntas menjawab isu rakyat.

- Advertisement -

​Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) dilihat tidak memberikan penyelesaian konkrit terhadap isu-isu kritikal yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS sebelum ini.

​Menurutnya, antara isu utama yang menjadi pertikaian termasuk Indeks Kesejahteraan Sosial Rakyat, masalah miskin bandar, isu rumah mampu milik, kualiti infrastruktur serta jurang pendapatan yang semakin ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.

​“Bagi meneruskan agenda kritikan kami kepada Bajet 2026 ini, Pemuda PAS Selangor akan menganjurkan siri jelajah ceramah ke seluruh negeri Selangor.

​“Fokus utama jelajah ini adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) yang kami sasar untuk rampas dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

​“Kami yakin, rakyat Selangor sangat menantikan pendedahan serta kritikan yang dibawa oleh Pemuda PAS terhadap belanjawan yang dibentangkan sebelum ini,” katanya.

​Mengulas lanjut, Muhammad Faizzuddin berkata, sentimen rakyat kini semakin memuncak susulan krisis integriti yang menyelubungi pemimpin PKR di peringkat nasional serta perebutan kuasa dalaman parti tersebut.

​Jelasnya, isu perebutan jawatan antara ‘warlord’ PKR yang tidak berkesudahan dijangka membentuk gelombang kemarahan rakyat, khususnya dalam kalangan anak muda generasi Z (Gen-Z).

​“Pemuda PAS Selangor percaya bahawa rakyat berhak mendapat kepimpinan negeri yang lebih cekap dan mampu mengagihkan kekayaan negeri secara adil.

​“Tidak ada makna kalau negeri kita kaya, tetapi rakyat tidak mampu menikmati kekayaan tersebut,” tegasnya.

​Beliau turut menyatakan bahawa sebagai pembangkang yang konstruktif, inisiatif jelajah ini digerakkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat berlandaskan lunas dan kerangka tanggungjawab demokrasi di negeri ini.

​Untuk rekod, komposisi Dewan Negeri Selangor yang mempunyai 56 kerusi ketika ini menyaksikan Kerajaan Perpaduan (PH-BN) menguasai 34 kerusi, manakala pembangkang (PN) memiliki 22 kerusi.

​Daripada jumlah kerusi kerajaan, DAP memiliki 15 kerusi, diikuti PKR (12), Amanah (5) dan Barisan Nasional (2).

​Manakala di blok pembangkang, Perikatan Nasional diwakili oleh Bersatu dengan 11 kerusi dan PAS menguasai 10 kerusi manakala Bebas satu kerusi. – HARAKAHDAILY 6/12/2025

- Advertisement -