
KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada syarikat penerbangan, AirAsia atas keputusan membenarkan kru kabinnya mengenakan pakaian menutup aurat bermula Ramadan akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu bukan sahaja selaras dengan tuntutan agama dan keberkatan mencari nafkah, malah menepati realiti demografi negara di mana lebih 60 peratus rakyatnya beragama Islam.
Menurutnya, langkah inklusif tersebut mencerminkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta wajar dijadikan penanda aras oleh syarikat penerbangan lain.
“Langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan syarikat global yang bergerak ke arah _faith-friendly workplace_ (tempat kerja mesra ibadah).
“Industri penerbangan Malaysia seharusnya mempamerkan standard yang mencerminkan identiti nasional yang mementingkan nilai agama dan budaya, bukan sekadar dari sudut perkhidmatan semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menyarankan agar industri penerbangan menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Negara-negara yang mempunyai norma sosial yang lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri. Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan serupa,” tegasnya.
Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh dalam pada itu menyifatkan langkah AirAsia itu sebagai progresif, berwawasan dan menghormati hak pekerja wanita Muslim untuk berkhidmat secara profesional tanpa mengorbankan prinsip syariat.
Jelas beliau, keputusan itu juga selaras dengan gesaan yang pernah dibuat oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff sejak tahun 2017 lagi.
“Inisiatif ini memberi ruang, peluang dan keyakinan kepada wanita Muslim. Ia sekali gus menjadi contoh terbaik kepada sektor korporat bahawa kemajuan boleh digerakkan seiring dengan nilai moral dan agama.
“Kami percaya langkah ini akan mengukuhkan lagi imej AirAsia sebagai syarikat yang sensitif terhadap kepelbagaian pelanggan serta kakitangannya,” ujarnya. – *HARAKAHDAILY 6/12/2025*











