Kadar kahwin, cerai di Pahang konsisten tinggi

Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
- Advertisement -

KUANTAN: Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PN-Tahan) mengemukakan pertanyaan mengenai nisbah antara perkahwinan dan penceraian di seluruh negeri Pahang dari tahun 2020 hingga 2025.

- Advertisement -

“Apakah faktor utama kepada perkara ini dan julat umur kepada kes penceraian ini,” ujarnya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.

Dato’ Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) mewakili beliau mengemukakan soalan berkenaan pada persidangan di Dewan Sri Pahang itu kerana menguruskan jenazah bondanya yang meninggal dunia jam 7.20 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

Menjawab soalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, data statistik Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) jelas menunjukkan kadar perceraian yang konsisten tinggi.

“Pada 2020 seramai 11,585 pasangan telah mendaftar perkahwinan manakala 2,947 individu memohon perceraian. Pada 2021 jumlah perkahwinan 12,163 pasangan dan yang memohon perceraian 2,185 kes.

“Pada 2022 seramai 13,811 pasangan mendaftar perkahwinan manakala permohonan perceraian 3,513 kes. Pada 2023 seramai 11,672 pasangan mendaftar perkahwinan dan 3,135 permohonan perceraian dicatatkan manakala pada 2024 seramai 10,329 pasangan mendaftar perkahwinan dan 3,484 individu memohon perceraian.

“Setakat 2025 seramai 8,611 pasangan telah mendaftar perkahwinan manakala 2,630 permohonan perceraian direkodkan tahun ini yang masih belum berakhir,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa golongan berusia 30 hingga 40 tahun merupakan kumpulan paling ramai memohon perceraian.

“Punca perceraian tidak seragam. Ada pasangan berdepan ketidakserasian, ada yang menghadapi perbezaan ekonomi antara pasangan dan lain-lain.

“Kita berdoa dan juga berusaha untuk mereka ini sentiasa dididik, ditarbiahkan supaya menjaga hubungan kekeluargaan kerana tidak sewajar setelah mereka membina rumah tangga yang tadinya mereka sendiri mohon tetapi disudahi dengan peceraian,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2025

- Advertisement -