
PARIT: Kebanyakan penduduk di sekitar Titi Gantung, di sini menyifatkan kejadian banjir kali ini sebagai satu kejutan apabila kediaman mereka dinaiki air buat pertama kali selepas lebih 40 tahun menetap di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, rata-rata penduduk yang ditemui redha dengan takdir Allah SWT meskipun berdepan kesukaran akibat fenomena ‘banjir termenung’ yang melanda.
Menurutnya, setakat petang semalam, sebanyak 44 buah rumah telah disantuni oleh pasukan Khidmat Malaysia, manakala lebih 60 buah rumah dikenal pasti terlibat dengan banjir di Kampung Semangat dan Parit 9, Titi Gantung.
“Di kawasan DUN Bota, tumpuan utama melibatkan 80 peratus kawasan di Kampung Semangat dan Titi Gantung, manakala bakinya melibatkan Parit 6 dan Kampung Serapoh di DUN Belanja.
“Keadaan banjir termenung masih ada lagi, dan kita mengharapkan cuaca terus panas agar air surut dengan segera. Khidmat Malaysia Kawasan Parit akan cuba memberikan bantuan terbaik untuk semua penduduk yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Pusat, semalam.
Khidmat Malaysia Pusat hadir di Bilik Gerakan Khidmat Malaysia Perak di Titi Gantung, yang juga bertindak sebagai Pusat Operasi Khidmat Malaysia Parlimen Parit, di sini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid dan Timbalan Pengarah, Dr Rosni Adam.
Turut menyambut kehadiran mereka ialah Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Perak, Abdul Karim Abdul Rasid dan timbalannya, Ustaz Mohd Sofian Rejab.
Dalam lawatan tersebut, rombongan turut menyerahkan sumbangan agihan kepada wakil Khidmat Malaysia Kawasan Parit, Beruas, Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk sebelum turun padang menyantuni penduduk di sekitar bilik gerakan yang diuji bencana.
Mengulas mengenai gerak kerja sukarelawan, Penyelaras Khidmat Malaysia Parit, Alias Ngatenan memaklumkan bilangan petugas sedikit terhad pada hari bekerja, namun operasi tetap berjalan lancar dengan kekuatan antara dua hingga empat pasukan yang bergilir-gilir turun padang setiap hari. – HARAKAHDAILY 5/12/2025











