Kelantan tetap garis panduan aktiviti mendulang emas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meluluskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi permohonan lesen mendulang emas di bawah Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001.

- Advertisement -

Langkah itu menetapkan hanya rakyat negeri ini dibenarkan memohon lesen berkenaan mulai Januari depan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bayaran lesen ditetapkan RM100 untuk tempoh setahun dan perlu diperbaharui setiap tahun.

“Lesen tidak boleh dipindah milik dan setiap individu hanya dibenarkan memiliki satu lesen sahaja. Permohonan lesen boleh dibuat terus melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri atau di jajahan masing-masing,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa sidang akhbar selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurut beliau, aktiviti mendulang hanya dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 6 petang di kawasan tanah kerajaan yang akan diwartakan di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli yang dikenal pasti mempunyai potensi emas.

Ujarnya, aktiviti mendulang dilarang dilakukan semasa musim tengkujuh dan ia satu kesalahan dan Mohamed Fadzli menegaskan bahawa emas yang diperoleh hanya boleh dijual kepada pembeli diiktiraf kerajaan negeri sahaja.

“Pembeli emas ini perlu memohon lesen dengan PTG kerana mereka akan terikat dengan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri.

“SOP ini membolehkan segala permohonan dilakukan secara teratur mengikut garis panduan baharu yang dibangunkan bagi menjaga kebajikan pendulang dan memastikan aktiviti itu tidak menjejaskan alam sekitar,” jelas lagi.

Beliau menambah beberapa syarat tambahan berkaitan pemeliharaan alam sekitar turut dimasukkan dalam SOP baharu berikutan kebimbangan terhadap risiko runtuhan tebing sungai dan kerosakan kawasan sekitar.

“Walaupun mendulang ini sudah lama wujud, sebelum ini ia tidak terurus dari segi kebajikan pendulang, kawal selia alam sekitar dan hasil negeri.

“Dengan SOP ini, kita dapat mengetahui jumlah pendulang sebenar, menjadikannya sumber hasil negeri serta membuka peluang pekerjaan sampingan atau tetap kepada rakyat,” katanya lagi.

Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan mahu memberi peluang ini dinikmati rakyat sendiri.

Mereka yang ingin mendulang di tanah milik sendiri tetap diwajibkan memiliki lesen kerana aktiviti tersebut tertakluk di bawah kategori mendulang. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -