Anwar ‘sign’ ART tanpa mandat, serah kedaulatan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung penandatanganan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat tidak sah dan menggadaikan kedaulatan negara, semalam.

- Advertisement -

​Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, tindakan Anwar menandatangani perjanjian tersebut dipercayai dibuat tanpa mandat penuh daripada pihak yang sepatutnya mewakili Persekutuan Malaysia.

​Menurutnya, perjanjian itu tidak sah kerana Perdana Menteri bertindak sendirian tanpa melalui proses yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Majlis Raja-Raja.

​“Perjanjian ini sebenarnya tidak sah kerana dia (Anwar) bukan satu orang saja yang mewakili Federation (Persekutuan). Persekutuan Malaysia memerlukan empat bahagian iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Majlis Raja-Raja, tapi ini dia tak buat.

​“Lagipun perjanjian ini bila disemak, ia mengandungi 400 muka surat. Dalam 400 muka surat itu, yang tidak dikemukakan kepada orang ramai, terdapat banyak klausa yang menyebut bahawa kuasa negara kita sudah diserah kepada Amerika Syarikat.

​“Apa juga yang kita nak lakukan mesti rujuk kepada AS dan mereka yang akan menentukan sama ada boleh ataupun tak boleh perkara itu dilakukan. Jadi kita serah kuasa kita kepada AS,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.

​Mengulas lanjut, Mahathir turut melahirkan kebimbangan mengenai hak keistimewaan Bumiputera yang akan terancam menerusi perjanjian tersebut.

​Jelasnya, walaupun istilah Bumiputera tidak disebut secara khusus, syarat-syarat dalam perjanjian itu menetapkan bahawa keistimewaan yang diberikan kepada peniaga tempatan tidak boleh dikenakan sekatan ke atas barangan import atau dagangan AS.

​“Nampak kuasa AS itu sudah sampai ke tahap mereka menindakkan kuasa keistimewaan ataupun syarat istimewa yang diberi kepada Bumiputera.

​“Sebaliknya, mereka berhak mendapat apa juga layanan kepada Bumiputera mestilah dilayan (sama) kepada AS. Sebab itu kita kata bahawa AS sekarang ini sudah dapat kuasa Bumiputera, status dia kita panggil status Bumiputera,” ujarnya.

​Tegas negarawan itu lagi, tindakan menyerahkan kuasa negara kepada kuasa asing boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara.

​Beliau menyamakan situasi ini dengan era Malayan Union (1946-1948) di mana British cuba mengambil alih kuasa negeri-negeri Melayu sehingga negara hampir kehilangan kemerdekaan sebelum ia ditentang habis-habisan oleh orang Melayu.

​Justeru, beliau mendesak pihak polis melakukan siasatan terperinci sama ada Perdana Menteri telah melanggar undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.

​“Saya harap polis akan siasat Anwar Ibrahim sama ada dia melanggar undang-undang negara atau Perlembagaan. Ini hanya boleh ditentukan oleh hakim di mahkamah sama ada Anwar melakukan sesuatu yang salah atau tidak,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -