
SETIU: Kerajaan Negeri Terengganu semalam memulakan operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negeri selepas rundingan 40 hari yang dipersetujui bersama dengan FELDA berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tempoh itu merupakan peluang terakhir diberikan kepada FELDA bagi mencari penyelesaian terhadap isu tanah kerajaan yang berlarutan lebih empat dekad.
“Semalam (29 November 2025) tamat tempoh 40 hari. Satu tempoh yang dipersetujui bersama oleh kerajaan negeri dan juga pengurusan tertinggi FELDA untuk mencari satu penyelesaian.
“Isu yang telah berlanjutan lebih daripada 40 tahun. Tetapi sehingga tamatnya tempoh 40 hari, FELDA gagal untuk memberikan respon terhadap tuntutan kerajaan negeri.
“Maka sebagaimana yang telah dipersetujui bukan hanya di pihak kerajaan negeri tetapi juga di pihak FELDA, kita akan menguatkuasakan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika kerja pemasangan notis dilakukan di Pejabat Ladang FGV Setiu, di Kampung Air Sejuk, di sini semalam.
Operasi itu melibatkan penyerahan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada FELDA dan FGV atas dakwaan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Tindakan itu dibuat serentak di 10 ladang FGV membabitkan kawasan seluas 15,000 hektar merangkumi 127 lot tanah di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Operasi penguatkuasaan itu melibatkan lebih 150 anggota dari jabatan dan pejabat daerah seluruh negeri di mana menurut Azman, penerima notis diberi empat hari untuk membuat remedi dengan mengalihkan semua aset boleh alih.
“Mereka mesti mengeluarkan aset-aset boleh alih mereka dan selepas daripada itu proses sitaan akan bermula. Proses sitaan mengikut Kanun Tanah Negara, apa yang di sita itu akan menjadi milik negeri Terengganu,” katanya.
Selain kompaun atas pencerobohan tanah, kerajaan negeri turut akan memulakan tindakan saman sivil bagi menuntut kerugian lebih 40 tahun, serta tindakan jenayah di bawah Seksyen 425 KTN.
“Kerajaan negeri telah memberikan satu tempoh yang cukup lama ruang perbincangan dan perundingan telah kita buka sebaiknya tetapi tidak bersambut dan tidak balas sangat negatif, berdolak-dalih dan sebagainya termasuk juga mengancam kerajaan negeri jadi tidak sepatutnya itu berlaku.
“Maka setiap ruang perbincangan itu dia ada limit dia dan kita telah sampai kepada garis merah dimana tindakan itu perlu diambil,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, notis turut dihantar kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV sebagai makluman rasmi.
Mengulas mengenai kebajikan pekerja, Azman berkata, kerajaan negeri tidak akan membiarkan mana-mana pekerja menjadi mangsa, namun perancangan seterusnya bergantung kepada keputusan FELDA terhadap tenaga kerja mereka.
“Kita mempunyai perancangan tapi kita tidak boleh nak mendahului waktu kerana setiap pekerja tu ada majlis. Jadi buat masa sekarang ni kita pun tak tahu apa perancangan FGV kepada pekerja-pekerja mereka. Jadi biarlah bila sampai masanya nanti kita akan maklumkan.
“Tapi dalam penyusunan kita, tentunya kebaikan pekerja adalah keutamaan kita kerana kita tidak mahu ada sesiapa yang menjadi mangsa disebalik apa yang kita buat untuk mengembalikan setiap inci hak negeri. Kita tidak menzalimi sesiapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2025




















