
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Lajnah Badan Bukan Kerajaan (NGO) PAS Pusat, Razman Zakaria hadir menzahirkan solidariti bersama penduduk Kampung Sungai Baru dalam satu himpunan aman membantah upacara perasmian pecah tanah projek pembangunan semula kawasan tersebut, semalam.
Beliau menyifatkan situasi yang berlaku sebagai satu peristiwa bersejarah malang apabila penduduk asal seolah-olah dihalang daripada menyaksikan sendiri nasib penempatan warisan mereka bakal dirobohkan.
Razman turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa melakukan sekatan jalan raya (roadblock) dan kawalan ketat di sekitar kawasan majlis tersebut yang dilihat menyukarkan pergerakan orang ramai.
“Hari ini (semalam) adalah hari untuk pecah tanah, bererti hari terakhir melihat rumah-rumah yang dipertahankan itu akan dirobohkan.
“Namun malangnya, jalan ke perasmian disekat. Sepatutnya tidak perlu adakan ‘roadblock’, biarlah orang tengok. Kehadiran kita hari ini adalah untuk memberi kesedaran kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan ketidakhadiran Menteri Wilayah Persekutuan untuk merasmikan majlis tersebut kerana upacara itu hanya diwakili oleh pihak yang disifatkannya sebagai ‘broker kampung’.
Tegas Razman, rakyat perlu bangkit menuntut keadilan dan tidak membiarkan institusi serta undang-undang negara diperalatkan demi kepentingan peribadi pihak tertentu.
Beliau meluahkan kekecewaan terhadap pihak yang dahulunya lantang melaungkan slogan menolak rasuah dan memperjuangkan ketelusan, namun akhirnya melakukan perkara sama apabila memegang tampuk kuasa.
“Kita tidak mahu ketawa dengan orang yang berkepentingan. Dulu kata tolak rasuah, tolak kezaliman, tetapi akhirnya mereka mengangkat benda yang sama.
“Undang-undang kononnya menjaga ketenteraman awam, tetapi dilihat digunakan untuk kepentingan peribadi. Jadi rakyat kena bangkit membuat pembetulan dan menjaga institusi supaya berjalan dengan betul,” tegasnya lagi.
Menyentuh mengenai isu tanah, Razman turut melahirkan kebimbangan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal mengancam kedaulatan tanah milik rakyat.
Ujarnya, tanah negara adalah berkaitan dengan kedaulatan dan sebarang usaha menggunakan undang-undang untuk mengambil tanah rakyat secara paksa disifatkan sebagai satu kekejaman.
“Ini bukan titik terakhir, ini permulaan kesedaran. Banyak lagi tanah yang akan terancam dengan akta URA yang kononnya akan dibentangkan di Parlimen sedikit masa lagi,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, suasana himpunan tersebut dilaporkan tegang apabila empat individu termasuk pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim ditahan polis kerana didakwa melakukan kekacauan sewaktu majlis pecah tanah itu berlangsung. – *HARAKAHDAILY 1/12/2025*











