Terengganu ubah persepsi musim tengkujuh

- Advertisement -

BESUT: Kerajaan negeri berhasrat mengubah persepsi lapuk bahawa musim tengkujuh adalah tempoh lumpuh bagi sektor pelancongan, sebaliknya melihatnya sebagai peluang baharu untuk merancakkan ekonomi melalui aktiviti yang dirancang secara selamat dan tersusun.

- Advertisement -

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ‘mindset’ bahawa tengkujuh adalah musim tanpa aktiviti perlu diubah kerana realitinya hujan tidak berlaku sepanjang masa dan pelbagai program masih boleh dilaksanakan.

Menurut beliau, melalui perancangan awal serta persediaan rapi seperti ketika menghadapi banjir, aktiviti riadah dan sukan air masih boleh dianjurkan dengan mematuhi semua prosedur keselamatan.

“Selama ini kita meletakkan musim tengkujuh sebagai keadaan yang negatif, sedangkan kadang-kadang tengkujuh tidak berlaku pun dalam tempoh itu. Cuaca pun elok sahaja. Tetapi kerana minda kita telah diset dengan ini musim tengkujuh maka semua aktiviti terus diandaikan tidak boleh dijalankan.

“Saya mahu mengubah persepsi ini dengan melakukan anjakan paradigma bahawa musim tengkujuh juga mempunyai ruang untuk pelbagai aktiviti.

“Dalam masa yang sama, kita tidak pernah mengabaikan keselamatan. Keselamatan mesti sentiasa diutamakan. Dengan kawalan keselamatan penuh, barulah aktiviti boleh dilaksanakan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Kkujoh Fun Walk 2025 di Bukit Bubus, baru-baru ini.

Menurut Nurkhuzaini, kerajaan juga tidak lagi mengisytiharkan penutupan pulau pada musim tengkujuh, sebaliknya menyerahkan keputusan kepada pengusaha chalet bergantung kepada tahap keselamatan.

“Kerajaan tidak lagi mengisytiharkan penutupan pulau. Kita serahkan kepada pemilik chalet untuk menguruskan sendiri. Jika mereka rasa selamat, mereka boleh buka. Jika mereka mahu tutup, kita juga tiada masalah.

“Tetapi jika kita terus kekalkan pendekatan baharu ini, saya yakin kita dapat mengurangkan jurang ekonomi dan mencari pendapatan baharu dalam musim tengkujuh.

“Kita kena tingkatkan, kalaulah bot ini tak boleh nak apa ni pergi kalau kucur, kucur besar. Kena cari pengangkutan yang boleh sampai dengan selamat. Teknologi la ni kita panggil aje investor-investor kita untuk mereka ini datang melabur tempat kita dalam musim ini.

“Sebab saya difahamkan dari segi industri pelancongan sendiri banyak aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam musim tengkujuh ini,” ujarnya.

Katanya lagi, teknologi, pelabur dan sistem pengangkutan yang lebih sesuai perlu diteroka kerana banyak aktiviti pelancongan sebenarnya boleh diwujudkan dalam musim tengkujuh.

“Kita mahu supaya lima bulan musim tengkujuh tidak lagi menjadi tempoh rakyat hilang punca pendapatan. Dengan teknologi, pelabur dan pengangkutan sesuai, banyak aktiviti boleh diwujudkan,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri sedang menubuhkan Jawatankuasa Sukan Musim Tengkujuh yang akan mengumumkan aktiviti air sebaik paras air meningkat berdasarkan laporan cuaca.

“Antara aktiviti dicadangkan termasuk permainan air rakyat di lokasi-lokasi selamat yang telah dikenal pasti. Kita sudah bersetuju dengan Majlis Daerah Besut untuk menubuhkan jawatankuasa yang sentiasa bersedia.

“Kita tidak menetapkan tarikh khusus, sebaliknya akan memaklumkan program Sukan Air Musim Tengkujuh apabila keadaan sesuai. Jika sempat, tahun ini kita akan mulakan,” tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap pendekatan baharu itu akan membuka peluang ekonomi lebih luas dan menjadikan Terengganu sebagai negeri perintis dalam pembangunan pelancongan musim tengkujuh. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -