Saran ambil alih KAFA jika murid tak cukup kuota

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran mengambil alih pengurusan kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sekiranya jumlah murid tidak mencukupi kuota yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

- Advertisement -

Fakhruddin Abd Aziz (PN-Kamunting) berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir daripada menerima pendidikan agama, walaupun jumlah pelajar di sesebuah kelas itu kecil.

​Menurut Fakhruddin, sekiranya peraturan JAKIM mewajibkan sekurang-kurangnya 30 orang murid untuk sesebuah kelas beroperasi, kerajaan negeri wajar campur tangan jika jumlah tersebut tidak dipenuhi.

​“Saya minta pandangan, kita wujudkan macam sebelum KAFA wujud. Maknanya, kelas-kelas al-Quran dari kampung-kampung yang dipelopori oleh guru-guru tua, orang kampung dan sebagainya kemudian barulah selepas itu wujudnya sistem KAFA.

​“Kalau JAKIM buat peraturan begitu, dia mesti 30 (murid). Kalau bawah 30, kita minta kerajaan negeri _take over_ (ambil alih) benda itu. Sebab sampaikan daripada Nabi walau satu ayat. Walaupun seorang kena mengaji benda itu. Kita tak boleh kalau ada 15 orang, kita biarkan dia. Saya minta kalau ada (inisiatif) kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika mengemukakan soalan tambahan pada Persidangan Dewan Negeri Perak, di sini semalam.

Pada soalan asal, Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) meminta perincian mengenai jumlah Sekolah KAFA Integrasi yang ditutup dari tahun 2020 hingga 2025 di Perak, faktor penutupan serta punca kekurangan guru KAFA pada tahun 2025.

​Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam jawapannya menyifatkan cadangan untuk kembali ke sistem lama yang tidak formal sebagai langkah ke belakang.

​Jelas beliau, sistem KAFA yang wujud pada hari ini adalah hasil penambahbaikan daripada sistem pondok atau kelas kampung terdahulu demi keselesaan dan kualiti pendidikan yang lebih sempurna. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -