
KOTA KINABALU: “Manisnya lima minit tetapi pahitnya lima tahun terasa. Itulah yang terpaksa dihadapi rakyat apabila memilih pemimpin yang salah,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Bahkan, katanya rakyat pula terpaksa mengemis janji, sehingga janji tersebut seakan menjadi teka-teki yang terus misteri.
Justeru, ujarnya Komitmen PN adalah membentangkan Laporan 100 Hari gerak kerja ADUN dan Laporan Prestasi Dwitahunan sangat membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap wakil rakyat.
Menurutnya, rakyat dapat melihat sendiri tindakan awal, hala tuju, dan segala gerak kerja yang dilaksanakan secara realiti, tidak lagi hanya melihat dakwat hitam di atas kertas atau sekadar mendengar ucapan retorik.
Tambahnya, rakyat tidak lagi menjadi pemerhati, malahan keseriusan PN membuka ruang dialog setiap 6 bulan kepada rakyat untuk bersuara, bertanya, menegur dan memberikan cadangan secara berhadapan.
Menurut bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu, ini membuktikan PNl sangat mementingkan suara rakyat.
“Tiada lagi pentadbiran gelap dan rakyat tahu apa yang sedang berlaku, apa yang sudah dicapai, dan apa yang perlu diperbaiki,” ujarnya.
Katanya lagi, kepercayaan kembali terbangun kerana semuanya dibuktikan dengan laporan, bukan kata-kata.
“Inilah budaya politik baharu yang telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah yang diidam-idamkan oleh keluarga besar Karambunai.
“Karambunai perlukan masa hadapan yang lebih baik dan penyelesaian itu ada pada Perikatan Nasional. Demi masa depan Karambunai yang lebih baik,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri kali in, beliau berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal sudah berlangsung semalam.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 26/11/2025











